Ketua Penasihat Sekretariat Gerakan Bangkit Sabahan, Datuk Zulkarnain Mahdar

KUALA LUMPUR – Tindakan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mengungkapkan perkataan ‘palui’ dan ditujukan kepada rakyat Sabah disifatkan sebagai perbuatan biadap.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, walaupun ditujukan khas kepada Datuk Seri Hajiji Noor, namun ia telah mengguris hati dan perasaan rakyat Sabah.

“Perkataan ‘palui’ atau ‘bodoh’ tersebut mungkin ditujukan khas kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Namun siapa sahaja individu yang dimaki atau dihina oleh orang luar, ia akan menyebabkan solidariti kami ke atas mereka,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Terdahulu video Hamzah yang juga Ketua Pembangkang tular di media sosial ketika beliau berucap pada program Jelajah Sabah Bersatu di Sepanggar, pada Khamis.

Zulkarnain yang juga Ketua Penasihat Gerakan Bangkit Sabah akan menggerakkan ahli-ahlinya membuat laporan polis di seluruh Sabah bermula hari ini dan esok.

“Ia bagi memastikan tindakan tegas dapat kenakan ke atas Hamzah,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri Sabah digesa menggunakan kuasa imigresen untuk menghalang pemimpin dan aktivis politik bersikap sebegini daripada Semenanjung memasuki Sabah.

“Kerajaan Negeri Sabah perlu menghalang mereka yang mempunyai sejarah atau perilaku menghina dan berpotensi melakukan huru-hara di Sabah.

“Sebelum ini Fahmi Reza juga telah menghina orang Sabah dengan melukis karikatur jelik dan perbuatan ini telah membangkitkan kemarahan majoriti rakyat Sabah,” katanya.

Tambahnya lagi, rakyat Sabah sebenarnya tidak rasis dan mempunyai tahap kesabaran yang tinggi.

“Tindakan memperlekehkan orang Sabah dengan caci maki oleh ahli-ahli politik dari Semenanjung dilihat semakin menjadi-jadi.

“Ia sewajarkan dihentikan melalui tindakan menghalang mereka menjejakkan kaki ke Sabah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here