KUALA LUMPUR – Khutbah Jumaat bagi masjid di seluruh Kuala Lumpur hari ini menyeru umat Islam supaya menoktahkan perbuatan buli yang disifatkan sebagai satu jenayah dan perlakuan zalim serta berdosa yang mengundang kemurkaan Allah.
Khutbah yang disediakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) itu turut mengajak setiap individu, ibu bapa dan guru supaya bersama-sama berganding bahu membina generasi penyayang, prihatin dan berakhlak mulia.
Dalam masa sama, masyarakat turut diajak menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa untuk melaporkan sebarang kejadian buli yang berlaku.
Terdahulu, khutbah itu turut menggariskan antara faktor yang menyumbang kepada kejadian buli antaranya disebabkan pengabaian didikan ibu bapa dan kurangnya kasih sayang.
Di samping itu, cara didikan yang kasar juga menyebabkan anak-anak menjadi pembuli yang mana sikap ayah dan ibu memberi kesan dalam pembentukan adab dan akhlak anak-anak mereka.
Selain itu, pengaruh media sosial turut memainkan peranan apabila saban hari elemen keganasan, kelucahan, perlakuan kurang adab dan ejekan menjadi paparan utama media sosial.
Ini menjadikan elemen itu dirasakan sebagai normal, wajar dan sekadar gurauan yang akhirnya menjadi budaya serta ikutan masyarakat.
Faktor lain yang turut menyumbang kepada perlakuan buli, menurut khutbah Jumaat itu, adalah sifat ego, panas baran dan kurang empati dalam kalangan masyarakat.
Sebagai contoh, seseorang yang merasakan dirinya hebat atau kuat, sering mengejek dan memandang rendah kepada orang lain sehingga melakukan penindasan secara sedar atau tidak.
“Ingatlah, perbuatan buli memberi kesan yang amat besar pada diri mangsa, pembuli dan keluarga. Mangsa buli akan mengalami tekanan dan gangguan emosi sepanjang hayat terutama apabila dibuli terhadap perasaan dan psikologi.
“Buli fizikal boleh memberikan kesan seperti kecacatan atau parut yang kekal selamanya,” demikian menurut teks khutbah Jumaat berkenaan.
Sementara itu, bagi menangani masalah buli pula, khutbah Jumaat itu menyarankan ibu bapa menyuburkan kasih sayang dalam jiwa anak-anak dengan didikan agama yang sempurna berlandaskan al-Quran dan sunah.
Persekitaran yang baik perlu diwujudkan supaya anak-anak dapat membesar dalam suasana yang harmoni selain ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang positif dan akhlak mulia kepada anak-anak.
Di samping itu, anak-anak juga perlu diajar untuk melaporkan kepada ibu bapa, guru atau pihak berkuasa sekiranya berasakan mereka dibuli atau melihat perbuatan buli berlaku.
“Ketahuilah bahawa setiap individu di negara ini dilindungi oleh undang-undang. Jangan takut untuk bertindak dan jangan pendamkan, anda tidak bersendirian. Masih ramai pihak yang prihatin untuk membantu anda,” katanya.
Dalam masa sama, khutbah itu turut mengajak umat Islam sentiasa mengambil peduli dan memberikan perhatian terhadap ahli keluarga dan persekitaran mereka.
“Kenal pasti perubahan sikap, tingkah laku dan gaya hidup ahli keluarga.
“Seandainya berlaku kemurungan, kesedihan yang berpanjangan, sikap memendam rasa yang mencurigakan atau bertingkah laku agresif, besar kemungkinan mereka terlibat dengan kes buli,” katanya. – MalaysiaGazette