NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mempertimbangkan untuk memperluaskan pemberian Baucar Buku Madani kepada warga pendidik bermula tahun ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, cadangan untuk memperluaskan pemberian baucar kepada guru akan dibawa kepada Jemaah Menteri termasuk membentangkan laporan kejayaan pelaksanaan pemberian Baucar Buku Madani pada tahun lalu.
“Melihat kepada keupayaan, komitmen kepercayaan dan platform yang telah kita sediakan melalui pemberian baucar, kita berharap kita dapat meluaskan (pemberian baucar) pada tahun ini, maknanya sama ada diteruskan atau ditambah juga baucar untuk guru bagi tahun ini.
“Kita nampak komitmen itu ada, rakyat Malaysia menggunakan sepenuhnya baucar buku ini untuk menebus bahan bacaan yang baik dan ia memberikan kesan langsung kepada budaya membaca dan peningkatan pembacaan kalangan anak-anak kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan cek cura bantuan awal persekolahan di Sekolah Kebangsaan Seri Tasek di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Wan Sajiri Wan Hassan.
Mengulas lanjut Fadhlina berkata, inisiatif Baucar Buku Madani yang diumumkan oleh kerajaan pada Mei tahun lalu telah memberi manfaat kepada lebih 3.5 juta pelajar dengan jumlah penebusan baucar mencapai RM286 juta.
Katanya, penebusan baucar secara keseluruhan melibatkan lebih 7.8 juta bahan bacaan sepanjang tahun lalu.
“Ini adalah pencapaian besar dan kejayaan yang tidak mudah, namun kami berjaya melaksanakannya dengan sokongan kuat daripada semua pihak, terutama guru.
“Kami juga sangat berbangga kerana pemberian baucar ini mencapai 100 peratus penembusan di kawasan luar bandar,” katanya.
Pada Mei 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian baucar buku bernilai kepada murid sekolah rendah bermula Tahun 4, pelajar sekolah menegah dan institusi pendidikan tinggi (IPT).
Baucar bernilai RM50 diberikan kepada murid Tahun 4 ke atas, manakala RM100 diberikan kepada murid sekolah menengah, pelajar kolej vokasional, Tingkatan Enam, matrikulasi, dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM). – MalaysiaGazette