Reaksi pelajar-pelajar Tahun 1 yang menerima kaca mata pada Majlis Penyerahan Kaca Mata Bagi Program Pemeriksaan Refraksi dan Penajaan Pembetulan Ketajaman Penglihatan kepada Murid Sekolah Rendah Tahun 1 Kategori B40 dan M40 di SK Putrajaya Presint 9 (2), Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 16 JANUARI 2025

Oleh: Nursyuhada Jamaludin

PENULARAN peningkatan jumlah kanak-kanak yang mengalami masalah rabun jauh kian meningkat saban tahun. Faktor kurang tidur mungkin menjadi salah satu faktor pencetus kepada peningkatan peratusan kanak-kanak yang mengalami masalah rabun jauh.

Di zaman era globalisasi, dianggarkan terdapat 30% populasi dunia mengalami masalah rabun jauh dan dijangka bakal meningkat kepada 50% menjelang tahun 2050. Penularan peningkatan ini dapat dibendung sekiranya langkah pencegahan awal dapat diambil.

Pada masa kini, prevalens kanak-kanak mengalami masalah rabun jauh semakin meningkat setiap tahun. Punca yang dikaitkan dengan masalah rabun jauh dalam kalangan kanak-kanak adalah faktor genetik dan faktor persekitaran.

Tidak dinafikan, faktor kerja jarak dekat, kurang aktiviti luar atau beriadah seperti bersukan dan faktor pemakanan turut menyumbang kepada peningkatan rabun. Namun, tahukah anda kurang tidur juga boleh menyebabkan anak menjadi rabun jauh (miopia)?

Menurut kajian yang dilakukan oleh American Academy of Sleep Medicine pada tahun 2016, kanak-kanak yang berusia 3 hingga 5 tahun perlu tidur selama 10 hingga 13 jam sehari (termasuk tidur siang). Bagi kanak-kanak yang berusia 6 hingga 12 tahun adalah disarankan untuk tidur selama 9 hingga 12 jam sehari, manakala tidur selama 8 hingga 10 jam adalah bagi remaja yang berusia 13 hingga 18 tahun.

Tidur mengikut bilangan jam yang disyorkan secara teratur dikaitkan dengan hasil kesihatan yang lebih baik termasuk perhatian, tingkah laku, pembelajaran, ingatan, peraturan emosi, kualiti hidup, kesihatan mental dan fizikal seseorang individu. Kajian yang dilakukan di seluruh dunia yang mengkaji hubung kait antara kronotaip tidur (waktu tidur, tempoh tidur, kualiti tidur dan konsistensi waktu) dengan rabun jauh  mempunyai pandangan yang berbeza dari segi hasil kajiannya.

Ada kajian yang mendapati terdapat perkaitan antara kronotaip tidur dengan rabun jauh dalam kalangan kanak-kanak dan ada juga kajian yang menunjukkan tiada hubung kait antara kronotaip tidur dengan rabun jauh. Kajian saintifik ke atas 3,625 orang kanak-kanak di Korea pada tahun 2015, mendapati terdapat perkaitan antara waktu tidur lewat, tempoh tidur yang lebih pendek, dan kualiti tidur yang kurang baik dengan peningkatan rabun jauh dalam kalangan kanak-kanak.

Prevalens kanak-kanak dan remaja Korea yang berusia 12 hingga 19 tahun menunjukkan penurunan rabun jauh apabila mereka tidur selama 10 jam berbanding mereka yang hanya tidur selama 5 jam sehari. Kajian ini juga menekankan kepentingan waktu tidur yang mencukupi dan kualiti tidur yang baik dalam usaha untuk membendung peningkatan rabun jauh dalam kalangan kanak-kanak di Korea.

Kajian di Jepun pada tahun 2016 turut menyokong terdapat perkaitan antara tempoh waktu tidur dengan risiko rabun jauh. Kajian ke atas kanak-kanak yang mempunyai rabun jauh yang tinggi yang berusia antara 10 hingga 19 tahun mendapati waktu tidur yang kurang (tempoh 6 hingga 8 jam sehari) dan waktu tidur yang lewat menyebabkan peningkatan rabun jauh menjadi lebih cepat kepada kanak-kanak yang mempunyai rabun jauh yang tinggi.

Tambahan pula, faktor waktu tidur yang lambat juga turut menyumbang kepada perkembangan peningkatan rabun jauh dalam kalangan kanak-kanak. Kajian di Shanghai, China pada tahun 2020 mendapati kanak-kanak yang berusia 6 hingga 9 tahun yang tidur selepas jam 9.30 malam berisiko tinggi untuk mengalami masalah rabun jauh.

Kajian yang dilakukan selama 2 tahun ke atas lebih dari 6,000 orang kanak-kanak itu  berpendapat, waktu tidur yang lambat dan kualiti tidur yang kurang baik menjurus kepada peningkatan risiko rabun jauh dalam kanak-kanak. Selain itu, kajian yang diterbitkan pada tahun 2022 ke atas lebih 10,000 kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun di Shanghai, China mendapati terdapat peningkatan risiko rabun jauh bagi kanak-kanak yang kurang tempoh tidur mengikut usia mereka.

Tempoh tidur yang dicadangkan oleh  American Academy of Sleep Medicine bagi kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun adalah selama 9 hingga 12 jam sehari adalah amat disarankan dalam mencegah peningkatan rabun jauh dalam kalangan kanak-kanak di Shanghai.

Justeru itu, adalah disarankan agar lebih banyak kajian dilakukan untuk memperkayakan bukti semasa untuk menjelaskan lagi hubung kait antara kronotaip tidur dan rabun jauh dalam kalangan kanak-kanak.

Secara kesimpulannya, zaman kanak-kanak adalah tempoh kritikal untuk mengawal masalah rabun jauh. Oleh itu, penekanan khusus mengenai kesihatan tidur perlu ditegaskan di peringkat awal sebagai salah satu langkah pencegahan pengawalan rabun dalam kalangan kanak-kanak. Peranan ibu bapa dalam mengatur corak tidur dan masa tidur anak mereka dapat memastikan penularan rabun dalam kalangan kanak-kanak dapat dibendung di peringkat awal.

Penulis adalah Pegawai Optometri
Klinik Pakar Oftalmologi
Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) UPM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here