MUAR – Seorang lelaki maut selepas kereta Proton Iswara dipandunya terbabas lalu masuk sebuah parit sebelum terbalik di Parit Limbong, Parit Jawa di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan kemalangan itu pada pukul 2.10 petang.
“Hasil siasatan mendapati kereta berkenaan dipandu seorang lelaki beusia 32 tahun dalam perjalanan dari Sri Tanjung menuju ke Parit Jawa.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, kereta tersebut terbebas masuk ke dalam parit di bahu kanan jalan lalu terbalik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pemandu berkenaan dibantu orang awam dan polis di lokasi kejadian namun disahkan sudah meninggal dunia oleh pembantu perubatan yang hadir memberikan rawatan.
Jelas beliau, pemandu berkenaan dipercayai maut akibat lemas dalam parit berkenaan.
Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.
Terdahulu tular satu rakaman video berdurasi satu minit 31 saat yang dikongsikan Malaysia Tribune yang memaparkan kejadian tersebut.
Menerusi rakaman itu, beberapa orang awam termasuk anggota polis berusaha membantu mangsa yang terlibat.- MalaysiaGazette