KUALA LUMPUR – Penerbit dan pengarah Michael Ang mendedahkan dia hampir menjadi mangsa daripada sebuah syarikat pengendali pelancongan yang tular ketika ini atas dakwaan penipuan umrah apabila pernah ditawarkan pakej VVIP.
Namun dia meluahkan rasa lega kerana tidak menerima tawaran tersebut sekaligus terselamat daripada menjadi mangsa penipuan seperti 314 bakal jemaan umrah lain.
“Nasib baik tidak terima tawaran mereka yang nak taja saya pakej VVIP pergi umrah. Kalau tak, jenuh nak menjawab tentang isu scam.
“Mereka hubungi saya menerusi ruangan mesej dalam Instagram dan TikTok dengan maklumkan nak taja pakej VVIP dan minta saya cuma buat video ketika di sana (Mekah) dan lakukan kursus umrah di pejabat mereka.
“Tentang bayaran, mereka nak bagi tunai dan ajak saya berjumpa. Nasib baik abaikan dan tidak balas mesej mereka. Tak tergerak hati nak terima tawaran mereka,” katanya dalam Instagram.
Mengulas lanjut, Micheael berharap mangsa agensi berkenaan bersabar dengan ujian tersebut dan bersimpati dengan nasib bakal jemaah yang berputih mata tidak dapat menunaikan umrah.
Sejak kelmarin, tular isu sebuah agensi pengendali pakej umrah didakwa gagal menunaikan janji untuk menerbangkan seramai 314 bakal jemaah ke Tanah Suci Mekah.
Lebih menyedihkan, kesemua bakal jemaah itu mengalami kerugian hampir RM2.1 juta.
Kumpulan terkandas itu bukan sahaja melibatkan individu yang menetap di sekitar Lembah Klang, malah ada yang tiba dari Korea Selatan, Brunei, Sarawak dan Sabah.
Rentetan itu, pihak polis mengesahkan menahan pasangan suami isteri berusia 31 tahun yang merupakan pemilik sebuah syarikat pengendali umrah di Kuala Lumpur semalam. – MalaysiaGazette