JOHOR BAHRU – Rakan kepada warga emas yang maut bersama-sama anak dan cucunya dalam kebakaran di Jalan Limau Manis, Kampung Dato Bentara, Ulu Tiram di sini malam tadi, menyifatkan mangsa sebagai seorang yang suka membantu orang susah.
Goh Leng Ber, 60, dari Taman Nora di sini, berkata, walaupun warga emas tersebut hidup susah, kerap membantu penduduk setempat yang memerlukan.
“Biasanya mangsa akan mengambil makanan dari restoran berdekatan termasuk makanan sumbangan orang ramai untuk diberikan kepada orang tua dan keluarga miskin dengan menggunakan kereta.
“Dia juga akan meminjam kerusi roda untuk digunakan orang susah,” katanya ditemui di tempat kejadian.
Dalam kejadian pada pukul 2.46 pagi itu, mangsa, Ng Geok Choo, 63, dan anak lelakinya, Lee Chiw Yong, 30, dan cucu perempuannya, Chen Si Jing, 12, maut dalam kebakaran di rumahnya di kampung tersebut.
Sementara cucu lelakinya, Chen Yu Tong, 12, melecur dan mendapat rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.
Leng Ber berkata, mangsa merupakan seorang yang baik hati dan membantu orang susah walaupun dirinya sendiri hidup susah dan menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Katanya, Geok Choo juga sudah menyiapkan kuih tradisional untuk Tahun Baharu Cina tetapi tidak sempat diberi kepada orang ramai.
Sementara itu, Ketua Kampung Baru Ulu Tiram, Goh Kim Soon, 56, mangsa yang mesra dipanggil Miss Wong yang mempunyai dua anak sepatutnya menerima bantuan bakul makanan esok sempena Tahun Baharu Cina.
“Saya juga sepatutnya memberi sumbangan Tahun Baharu Cina kepadanya di rumahnya tetapi tidak kesampaian,” katanya.- MalaysiaGazette