Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari

KUALA LUMPUR – Pembangkang diseru memainkan peranan sebagai semak dan imbang yang berkesan dalam memastikan keberlangsungan demokrasi di negara ini.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, peranan itu juga penting bagi memastikan kerajaan hari ini dapat memimpin negara dengan amanah, telus dan cekap.

Menurut Ahli Parlimen Sungai Petani itu, apa yang berlaku ketika ini adalah pembangkang dilihat sibuk dengan agenda politik untuk menjadi kerajaan berbanding menjalankan tanggungjawab sebagai pengawas kepada pentadbiran negara.

Jelasnya, ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim giat membawa suara Malaysia ke peringkat antarabangsa dan menarik pelaburan asing untuk manfaat rakyat serta negara, pembangkang lebih sibuk menjatuhkan kerajaan dan saling menamakan calon Perdana Menteri dari kalangan mereka.

“Tidakkah ini bercanggah dengan matlamat sebenar mereka sebagai wakil rakyat?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mohammed Taufiq turut memberikan contoh bagaimana Anwar telah menunjukkan komitmen luar biasa  menyokong perjuangan rakyat Palestin termasuk usaha merangka resolusi mengusir Israel daripada keanggotaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Namun persoalannya, apa yang telah dilakukan Tan Sri Abdul Hadi Awang (Presiden Pas) sewaktu beliau memegang jawatan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) berkuasa?

“Apakah hasil konkrit yang telah beliau capai untuk Palestin mahupun Malaysia dalam tempoh tersebut?” persoalnya pula.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan yang mana seorang pemimpin negara perlu memiliki karakter yang mampu menyatupadukan masyarakat.

Malangnya, dakwa beliau, Abdul Hadi yang bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri sering menggunakan isu 3R (agama, kaum dan raja) untuk menimbulkan ketegangan kaum dan agama.

Malah, kata beliau, tindakan Abdul Hadi telah mencetuskan kemurkaan Sultan Selangor iaitu satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah negara yang berpegang teguh kepada prinsip Raja Berperlembagaan.

“Justeru, saya menggesa pembangkang untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh integriti dan profesionalisme.

“Kerajaan pembangkang perlu fokus pada negeri-negeri yang ditadbir mereka agar ekonomi di negeri-negeri tersebut menjadi lebih baik dan menguntungkan rakyat, bukan membebabkan lagi mereka.

“Hentikan politik murahan dan tumpukan usaha kepada kebajikan rakyat yang telah memberi mandat kepada anda sebagai wakil mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here