Soon Hoe Jin mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan memiliki dua laras senjata termasuk satu yang tiruan di Mahkamah Sesyen Balik Pulau, hari ini.

BALIK PULAU – Seorang pemilik premis ikan hiasan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan memiliki dua laras senjata termasuk satu yang tiruan pada Isnin dan Selasa lalu.

Tertuduh, Soon Hoe Jin, 58, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.

Mengikut pertuduhan pertama, Hoe Jin didakwa memiliki sepucuk pistol tiruan berwarna hitam coklat di tepi Kotak Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Dato Ismail Hashim, Sungai Ara, jam 9.30 malam pada 13 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukan hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki sepucuk senjata api jenis Revolver .38 S&W SPL. P 2 Inci yang bernombor siri CPZ4899 dengan menyalahi undang-undang di dalam stor rumah Mukim 4, daerah Barat Daya, jam 12.25 tengah malam pada 14 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan enam kali sebatan.

Pendakwaan dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani dan Lim Jin Hong manakala tertuduh diwakili peguam, Eddie Kwang.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan pertama manakala tiada jaminan dibenarkan bagi pertuduhan kedua kerana kes itu bersabit senjata api.

Mahkamah menetapkan 9 April depan bagi sebutan semula kedua-dua kes berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here