KOTA TINGGI – Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 50.8 Jalan Kota Tinggi-Kluang di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kemalangan itu yang melibatkan motosikal jenis Yamaha NVX (ABS) ditunggang mangsa, 20, dan treler Hino dipandu lelaki tempatan, 45, berlaku pukul 7.10 pagi.
“Kemalangan tersebut mengakibatkan penunggang motosikal, Muhammad Amirul Amri Nordin mengalami cedera parah di bahagian kepala dan kaki serta meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan siasatan manakala pemandu treler terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, kes masih dalam siasatan bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000.
Tambahnya, ini termasuk boleh hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh tidak kurang lima tahun.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan berhati-hati di musim hujan kerana faktor jalan yang licin dan boleh mengundang kemalangan. Sentiasa peka dan mematuhi undang-undang demi menjaga keselamatan bersama-sama semasa di jalan raya.- MalaysiaGazette