Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 30 OGOS 2023. (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Razak menegaskan, cara pendakwaan terhadapnya tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kerana kertas pertuduhan disediakan sebulan lebih awal sebelum beliau dihadapkan ke mahkamah berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2018.

Bekas Perdana Menteri memberitahu Mahkamah Tinggi, sebulan sebelum beliau didakwa, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah merangka pertuduhan terhadapnya.

“Kertas pertuduhan dihantar sebulan sebelum saya memberi keterangan di SPRM, ini menunjukkan pendakwaan adalah pramatang dan dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa.

“Tempoh sebulan itu sangat-sangat panjang, maknanya pihak SPRM dah merumuskan untuk mendakwa saya. Ia ‘unprecedented’ (tidak pernah berlaku sebelum ini),” ujar beliau ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar.

Najib, 71, membela diri terhadap empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Najib dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 20 September 2018 bagi kesemua 25 pertuduhan, Beliau ditahan SPRM sehari sebelumnya. Kes kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober tahun yang sama.

Pada prosiding hari ini, bekas Perdana Menteri berkata, prinsip pendakwaan sedemikian boleh dipertikai kerana perbicaraan yang saksama bertitik tolak daripada siasatan yang adil.

Najib turut mengulangi pendiriannya bahawa selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, banyak pendakwaan yang dilakukan adalah cacat, selari dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Kamal Baharin: Datuk Seri tahu bahawa siasatan sudah dimulakan sejak 2015?
Najib: Saya sepatutnya diberi peluang membuat penjelasan.

Kamal Baharin: Semasa kes pendakwaan, kami sudah bentangkan semuanya dan pihak pembelaan juga telah menyoal balas Datuk Seri.
Najib: Saya tidak setuju kerana sebelum menuduh saya, penjelasan perlu dipertimbangkan terlebih dahulu.

Pada peringkat itu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mencelah bahawa bekas Perdana Menteri telah menjelaskan pendirian bahawa dia tidak diberi hak yang sewajarnya ketika siasatan awal dilakukan.

Perbicaraan bersambung Isnin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here