Anggota bomba berada di kawasan pokok tumbang di Jalan Pudu, semalam.

KUALA LUMPUR – Sebatang pokok hujan-hujan (Enterolobium saman) yang tumbang di Jalan Pudu, berhadapan Wisma Magnum semalam didapati mengalami pereputan akar.

Bagaimanapun, punca sebenar akan dikenalpasti oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam masa terdekat.

Pokok berusia lebih 135 tahun itu tumbang mengakibatkan jalan tersebut ditutup sepenuhnya di kedua-dua hala.

Insiden tersebut turut melibatkan sebuah kenderaan yang dinaiki oleh dua orang wanita tempatan.

Mangsa yang mengalami kecederaan ringan telah menerima rawatan awal daripada petugas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

DBKL berkata, seramai 40 kakitangan DBKL dari Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar, Jabatan Penguatkuasaan, serta Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan
Elektrikal telah menjalankan kerja-kerja pemotongan dan pengalihan pokok di lokasi kejadian.

Susulan kejadian itu, DBKL akan memeriksa ke atas pokok-pokok berhampiran di Jalan Pudu bagi memastikan tahap keselamatannya.

Pada Disember 2024, DBKL telah mengarahkan dua syarikat kontraktor untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan pokok, termasuk cantasan dan penebangan, di kawasan Parlimen Bukit Bintang termasuk Jalan Pudu.

Pada masa yang sama, DBKL turut melantik kontraktor Penilaian Pokok Berisiko bagi menilai keadaan 80 pokok di sekitar Kuala Lumpur.

Untuk rekod, DBKL sebelum ini telah menebang 28 pokok berisiko tinggi di kawasan Parlimen Batu (13 pokok), Parlimen Cheras (10 pokok), Parlimen
Titiwangsa (3 pokok), Parlimen Bukit Bintang (1 pokok) dan Parlimen Lembah Pantai (1 pokok).

Sejak 15 Jun 2024, sebanyak 21 kontraktor yang dilantik oleh DBKL telah menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan pokok di seluruh Kuala Lumpur.

Tindakan ini merupakan langkah mitigasi terhadap pokok-pokok yang berpotensi tumbang.

Sehingga 31 Disember 2024, sejumlah 17,626 pokok telah dicantas dan dirawat melibatkan kesemua 11 Parlimen di Kuala Lumpur dengan penekanan khusus diberikan kepada pokok-pokok yang terletak di jalan utama, pusat bandar, kawasan perumahan dan taman rekreasi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here