PETALING JAYA – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) selaku pengendali utama pengangkutan awam negara terus komited mentransformasikan landskap pengangkutan awam dengan sasaran purata 1.4 juta penumpang sehari menjelang akhir tahun ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sasaran itu berdasarkan unjuran pertambahan 10 hingga 12 peratus bilangan penumpang rel dan bas pasca pandemik Covid-19.
Selain itu menurut beliau, sasaran tersebut turut dipacu dengan kejayaan beberapa inisiatif yang diperkenalkan Prasarana dan kerajaan bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.
“Pada tahun 2024, Prasarana merekodkan purata 1.18 juta penumpang harian iaitu peningkatan sebanyak 24 peratus daripada 955,000 penumpang pada tahun sebelumnya.
“Prasarana juga berjaya mengurangkan jumlah bilangan gangguan perkhidmatan rel kepada hanya 71 gangguan pada tahun 2024 berbanding 118 gangguan yang direkodkan pada 2023.
“Ini adalah penambahbaikan reliabiliti operasi tren sebanyak 33 peratus yang berjaya dicapai pada tahun lepas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pembentangan Laporan Prestasi Prasarana 2024 di sini hari ini.
Loke menambah, ketersediaan bilangan tren juga mencatat kemajuan ketara pada tahun 2024 dengan peningkatan sebanyak 21 peratus daripada 148 unit kepada 179 unit tren.
Menurut beliau, penambahan itu berjaya mengurangkan waktu menunggu, terutamanya di Laluan Kelana Jaya dan Laluan Kajang, masing-masing kepada tiga minit dan empat minit.
“Pengalaman perjalanan penumpang turut diberi perhatian sepanjang tahun 2024 di mana engenalan koc wanita yang diperluaskan ke Laluan Putrajaya dan Laluan Ampang/Sri Petaling telah membuahkan hasil positif, dengan tiada sebarang kes gangguan seksual dilaporkan di gerabak khas yang ditanda dengan pelekat merah jambu.
“Sistem keselamatan di Laluan Monorel juga telah dipertingkatkan apabila kesemua 11 stesen dilengkapi sistem pintu platform automatik (PAGS).
“Ini adalah bukti tanggungjawab dan keperihatinan kerajaan bagi memastikan semua sistem pengangkutan awam selamat dan bercirikan universal akses untuk semua golongan,” katanya. – MalaysiaGazette