PASIR GUDANG – Polis menahan lima lori yang dipercayai membawa muatan daging babi sejuk beku seludup di jeti Kampung Teluk Kabung di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, dalam serbuan pukul 8.35 pagi itu juga seramai tujuh lelaki dan seorang wanita ditahan.
“Siasatan mendapati terdapat 664 kotak berisi daging babi sejuk beku dianggarkan bernilai RM310,752 yang dipercayai diseludup masuk secara haram dari negara jiran.
“Polis turut merampas sebuah bot fiber dan enjin serta lima lori jenis rigid refrigerated yang digunakan bagi mengangkut daging babi sejuk beku berkenaan yang membabitkan nilai rampasan berjumlah RM853,000.
“Selain itu, wang tunai RM37,168.70 turut dirampas dan menjadikan jumlah nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM1,200,920.70,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hasil semakan mendapati tiga susek mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau.
Mohd Sohaimi memberitahu, kes disiadat di bawah Seksyen 135(1k(e) Akta Kastam 1967.
Jika sabit kesalahan ujarnya, boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000 yang mana lebih tinggi sehingga tidak lebih 20 kali ganda nilai suapan atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.- MalaysiaGazette