BENTONG – Tiada sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda susulan kejadian tanah runtuh di Jalan Amber Court dan Ion Delemen dekat Genting Highlands di sini hari ini.
Ketua Polis Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihak Balai Polis Genting Highlands menerima makluman dari polis bantuan Genting Highlands berkaitan berlaku tanah runtuh di kawasan berkenaan pada pukul 2. 47 pagi.
”Akibat daripada kejadian tersebut jalan ke Amber Court dan Ion Delemen terhalang dan tidak dapat dilalui di kedua-dua arah.
”Susulan itu kerja-kerja pembersihan laluan telah dilakukan dan selesai pada pukul 2 petang dan laluan sudah boleh dilalui untuk semua kenderaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ujarnya, pihak berkuasa dan pihak keselamatan Genting Highlands akan terus memantau lokasi berkenaan.
Zaiham memohon orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi serta menularkan kejadian yang tidak benar termasuk lokasi kejadian tanah runtuh.
Pihak polis juga menasihatkan orang ramai menghubungi Pusat Kawalan Daerah IPD Bentong di talian 09-222 2222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan untuk mendapatkan berita yang sahih. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: