JOHOR BAHRU – Tiga sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak perempuan rentung sementara seorang remaja lelaki cedera dalam insiden kebakaran di Kampung Oren, Ulu Tiram di sini hari ini.
Komander Operasi, Penguasa Kanan Bomba II, Rafie Ahmad Sareng dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran tersebut pada pukul 2.46 pagi.
Katanya, sebaik menerima panggilan tersebut, satu pasukan keluaran operasi (PKO) dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), dua unit perkhidmatan penyelamatan, perawatan, kecemasan (EMRS), satu jentera pacuan empat rida, Hilux dengan 24 anggota dihantar ke lokasi.
“Setibanya PKO ke lokasi pada pukul 3 pagi, didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah struktur kekal berkeluasan 24 x 30 kaki.
“Kebakaran didapati telah memusnahkan 80 peratus rumah berkenaan dan terdapat empat mangsa yang terperangkap.
“Seorang mangsa iaitu seorang remaja lelaki berusia 13 tahun berjaya diselamatkan dan diberikan rawatan awal oleh PKO kerana melecur di bahagian muka dan tangan sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), menggunakan kenderaan EMRS,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, tiga lagi mangsa, meninggal dunia dan didapati melecur di seluruh badan.
Semua mangsa yang meninggal dunia kemudiannya diserahkan kepada pihak polis ubtuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan pada pukul 5.10 pagi.- MalaysiaGazette