ROMPIN – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan penerbangan ihsan dengan menerbangkan seorang bayi lelaki berusia sebulan dari Pulau Tioman, semalam.
Menerusi kenyataan TUDM, penerbangan menggunakan Helikopter EC 725 AP itu membawa Muhammad Emir Mikhyl Muhammad Izral mendapatkan rawatan segera di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
“Bayi Muhammad Emir Mikhyl yang disyaki menghidap penyakit Sepsis diiringi ibunya, Nur Anis Hidayah Mohd Nazari,” katanya dalam kenyataan di sini.
Bayi tersebut selamat mendarat di Pangkalan Udara Kuantan dan terus dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans.
Penerbangan Mercy Flight tersebut telah dikendalikan Mejar TUDM, Khairul Ridhuan Ramlee, Mejar TUDM, Helmi Che Mat dan Kuartermaster Udara, Flait Sarjan Jilvanio Stephanus serta Sarjan Udara Muhammad Syafudeen Selamat. – MalaysiaGazette