Muhamad Idris mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dihadapkan terhadapnya di Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang hari ini.

JAWI – Seorang tukang masak didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dengan cara menendang motosikal semasa anggota itu menjalankan tugas pada Selasa lalu.

Majistret Nurul Ainna Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Idris Md Eusoff, 33, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara lima bulan, sekiranya dia gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan lelaki itu didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan anggota URB daripada menjalankan kewajibannya di Jalan Besar Valdor dalam daerah Seberang Perai Selatan, jam 12.25 tengah malam pada 14 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, dua anggota URB sedang melakukan rondaan di Sungai Bakap meminta tertuduh memberhentikan motosikal yang ditungganginya untuk pemeriksaan namun dia melarikan diri selain himpit serta menendang motosikal anggota berkenaan menyebabkan masing-masing mereka terjatuh.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Norafifah Mohd Shokri memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Bagaimanapun, peguam, M. Catherine Joysce dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan dengan alasan lelaki itu menyesal dengan perbuatannya serta menanggung keluarga termasuk dua adik yang masih bersekolah.

Sementara itu, di mahkamah sama, lelaki bujang itu mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki heroin 1.4 gram mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dan menetapkan 20 Mac depan sebagai sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here