Pengarah JSJN, Datuk Seri Khaw Kok Chin bersama Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa menunjukkan barang rampasan dadah di IPK KL hari ini

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Hong Kong ditahan  bersama dadah disyaki jenis kokain bernilai RM8 juta di  sebuah premis di Jalan Klang Lama di sini pada 15 Januari lalu.

Tangkapan suspek berusia 27 tahun itu dibuat sekitar pukul 5.30 petang oleh pasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Pengarah JSJN, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, semakan  mendapat suspek turut memiliki kewarganegaraan United Kingdom (UK) dan berperanan menjadi ‘tukang masak’ memproses dadah tersebut.

“Hasil pemeriksaan, kita menjumpai dua plastik lut sinar berisi cecair disyaki dadah kokain dengan anggaran berat 2.57 liter  dan ketulan dadah kira-kira 2.19 kilogram (kg) selain merampas pelbagai peralatan memproses dadah di dalam kotak.

“Susulan tangkapan itu dengan dipandu arah suspek, pasukan kita telah membuat pemeriksaan ke atas sebuah premis di Pusat Perindustrian KL sekitar pukul 6.30 petang pada hari yang sama.

“Pemeriksaan di dalam premis itu turut menemukan beberapa peralatan dan bahan kimia dipercayai memproses dadah dianggarkan berat lebih 3,500 liter cecair dan 104.9 kg ketulan Kokain.

“Seterusnya serbuan ketiga, di sebuah rumah sekitar Segambut dan pemeriksaan menjumpai beberapa bahan kimia memproses dadah dengan anggaran 1.0 liter cecair dan 3.2 kg ketulan dipercayai Kokain,” katanya dalam sidang media hari ini.

Antara barangan memproses dadah jenis Kokain yang dirampas.

Antara peralatan rampasan yang dilakukan adalah enam set tangki putih berkaki besi warna hitam, tabung uji (7) serta sebuah peti sejuk beku di dalamnya terdapat (19) botol plastik serta (1) tong putih berisi cecair disyaki kimia.

Tambah beliau, jumlah keseluruhan dadah syaki kokain dan bahan kimia menerusi tiga serbuan itu adalah RM8 juta dan ia boleh digunakan seramai 192,000 penagih dadah.

“Kita percayai dadah yang dihasilkan itu mampu dijual dengan harga yang amat tinggi di pasaran tempatan iaitu RM200,000 per kg manakala antarabangsa di New Zealand cecah RM1.1 juta sekilogram.

“Semakan lanjut mendapati suspek telah masuk ke negara ini sejak 3 Januari lalu menggunakan pas lawatan sosial dan tiada rekod jenayah lampau selain ujiaran saringan air kencing juga negatif.

“Pemeriksaan juga mendapati sindiket ini mula bergiat aktif sejak awal Disember lalu namun premis terbabit telah disewa bagi kegunaan memproses dadah pada November 2025,” jelasnya.

Pengarah JSJN, Datuk Seri Khaw Kok Chin bersama Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa menunjukkan bahan kima memproses dadah yang dirampas.

Katanya lagi, suspek kini direman tujuh hari bermula 16 sehingga 22 Januari depan bagi siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambah Kok Chin, siasatan sedang dijalankan sama ada makmal itu mempunyai kaitan dengan kartel dadah Amerika Latin atau sindiket lain yang pakar dalam pemprosesan serta pengedaran Kokain.

Bagaimanapun pihaknya telah menghantar sampel dadah yang dirampas ke Jabatan Kimia untuk dianalisa ketulenannya serta mengesan dalang sindiket terbabit. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here