KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menganggap kerajaan tidak lagi cuba menangani masalah yang berbangkit di antara Malaysia dengan Singapura termasuklah berkaitan perjanjian air.
Sebaliknya beliau mendakwa kerajaan dilihat membuat perjanjian baharu yang dakwanya menguntungkan Singapura.
“Tetapi hakikatnya kerajaan sekarang tidak lagi cuba tangani beberapa masalah yang ada dengan Singapura termasuk masalah ruang udara Malaysia, jabatan bengkok dan Central Provident Fund Singapura,” katanya menerusi kenyataan.
Dr Mahathir dalam masa yang sama mempertikaikan sebab kerajaan tidak membina loji tapisan air di Johor supaya negeri itu tidak perlu membeli dari Singapura.
Katanya, sepatutnya pembinaan loji tersebut menjadi jalan penyelesaian terhadap kenaikan harga air tapis dari Singapura.
“Saya tidak tahu kenapa loji ini tidak didirikan. Selepas saya letak jawatan, projek jambatan bengkok dan landasan kembar keretapi juga digugur. Tidak ada sebab kenapa loji tapis ini tidak boleh didirikan sekarang.
“Ancaman Singapura menaikkan harga air tapis bukan masalah,” katanya menerusi kenyataan yang sama.
Jelas Dr Mahathir, perjanjian air antara kedua-dua negara menentukan bahawa harga boleh dirunding selepas 25 tahun sejak 1961.
Menurutnya lagi, ketika menjadi Perdana Menteri Ke-4, beliau beberapa kali telah mengadakan rundingan dengan Singapura berkenaan masalah di antara kedua-dua negara termasuklah berkaitan harga air mentah tiga sen 1000 gelen.
Bagaimanapun Singapura tidak pernah setuju dengan kenaikan harga atas alasan sudah terlewat untuk melakukannya.
“Apabila saya persoal berkenaan perjanjian air Malaysia dan Singapura, ada yang hentam saya. Mereka tanya, selama jadi Perdana Menteri 22 tahun dan 22 bulan apa yang saya buat.
“Yang patut ditanya bukan apa saya buat, tapi apa yang kerajaan sekarang buat?” soalnya.
Sebagai rekod, kerajaan memutuskan untuk kekal dengan perjanjian sedia ada yang termaktub dalam Perjanjian Air 1962 dan sebarang perubahan terhadap kadar jualan air mentah kepada Singapura perlu mempertimbangkan implikasi terhadap kos pembelian air terawat dari negara itu.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir pada Disember lalu dalam Dewan Rakyat dilaporkan berkata, walaupun harga yang ditetapkan untuk penjualan air mentah kepada Singapura adalah rendah iaitu pada kadar tiga sen setiap 1,000 gelen namun dari segi impak ekonomi ia sebenarnya memberi timbal balik kepada negara.
Beliau berkata, berdasarkan rekod Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ), Johor kini membeli purata 16 juta gelen sehari (MGD) air terawat pada kadar 50 sen setiap 1,000 gelen, jauh melebihi kadar lima MGD yang diperuntukkan dalam perjanjian itu.-MalaysiaGazette