PULAU KETAM – Rata-rata penduduk Tionghua teruja dan gembira apabila tokoh perniagaan yang juga terkenal dengan sifat dermawan, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun hari ini menyampaikan sumbangan peribadi bernilai RM250,000 bagi pelbagai kegunaan di pulau berkenaan.
Sumbangan dana itu disampaikan kepada tiga sekolah Cina dan lima tokong tempatan di Pulau Ketam.
Kata beliau, dirinya positif sumbangan itu akan memberi impak besar meningkatkan kualiti hidup penduduk di kawasan itu.
“Ini kali pertama saya datang ke Pulau Ketam, kehadiran saya hari ini bersama keluarga kerana jemputan rakan dan juga ahli perniagaan, Tan Sri Lim Kuang Sia yang berasal dari sini. Kali pertama hadir, saya cukup teruja dan kagum dengan tempat ini.
“Saya sangat berharap sumbangan hari ini dapat membantu pembangunan sekolah, menyokong komuniti serta meningkatkan kesejahteraan warga emas di kawasan ini.
“Saya pasti sumbangan akan beri nilai besar kepada mereka, semua pihak berwajib boleh buat apa sahaja dengan wang itu untuk pastikan taraf hidup serta keperluan terus menjadi lebih baik,” katanya kepada media selepas lawatan dan majlis sumbangan sempena Tahun Baru Cina untuk masyarakat Tionghua di pulau ini.
Dalam pada itu, Vincent turut memuji potensi Pulau Ketam terutamanya dalam industri pelancongan menarik di Selangor.
“Kita harap ramai dalam kalangan swasta akan tampil membangunan pulau ini terus menarik pengunjung bukan dalam kalangan tempatan sahaja tetapi pelancong luar negara,” ujarnya. -MalaysiaGazette