Keadaan gudang kurier yang terletak di Cheras.

KUALA LUMPUR – Seramai tujuh pekerja syarikat kurier ditahan kerana disyaki mencuri barang dalam bungkusan yang dikirim pelanggan membabitkan kerugian RM21,818.

Dalam satu kenyataan, kata Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, jenayah itu dilakukan semua suspek di gudang syarikat kurier terbabit yang terletak di Taman Indah Cheras, di sini.

Mohd Azam mendedahkan, kejadian itu hanya disedari pengurus syarikat selepas mendapat aduan salah seorang pelanggan yang mendapati bungkusan kosong dihantar menggunakan khidmat syarikat kurier tersebut.

“Pengurus itu kemudian buat siasatan dalam dan mendapati ada beberapa pekerja membawa keluar bungkusan dari gudang tanpa membuat urusan daftar keluar barang.

“Dia kemudian membuat laporan polis kerana mengesyaki pekerja syarikat telah mencuri bungkusan asal milik pelanggan dengan nilai kerugian dianggarkan RM21,818,” katanya.

Tujuh suspek ditahan kerana mencuri bungkusan pelanggan di gudang syarikat kurier yang terletak di Taman Indah Cheras, di sini.

Susulan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Polis Daerah Ampang Jaya membuat beberapa siri serbuan dan tangkapan di sekitar Lembah Klang dan Nilai, Negeri Sembilan, bermula 13 Januari hingga semalam.

Tangkapan melibatkan enam lelaki dan seorang wanita berusia antara 21 hingga 51 tahun dan pihak polis turut merampas beberapa barangan yang disyaki ada kaitan dengan kes yang sedang disiasat.

Kata beliau, tangkapan pertama dan kedua terdiri daripada seorang lelaki dan wanita tempatan telah dibawa ke Mahkamah Ampang untuk dituduh dibawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana didapati mencuri barang dari syarikat tempat bekerja.

“Lima lagi tangkapan susulan kita sudah mohon reman dan dibenarkan mahkamah selama empat hari bermula semalam sehingga 20 Januari depan atas semua suspek,” ujarnya.

Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan iaitu curi oleh orang gajidan Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu curi dalam bangunan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here