JOHOR BAHRU – Seorang akauntan berputih mata selepas rugi RM460,888 diperdaya tawaran pelaburan Bitcoin yang diiklankan dalam Facebook.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, mangsa seorang wanita 61 tahun mendakwa kejadian bermula pada Julai lalu.
“Mangsa tertarik melihat iklan pelaburan Bitcoin dalam Facebook dan menekan pautan yang disediakan.
“Mangsa kemudian dimasukkan ke dalam sebuah kumpulan pelaburan dan diberi penerangan mengenai pelaburan itu oleh beberapa individu,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, wanita berkenaan dijanjikan pulangan yang cepat dan lumayan berdasarkan harga semasa mata wang tersebut.
Mangsa yang hampir bersara pada penghujung Disember lalu katanya, mengambil keputusan menyertai pelaburan tersebut.
“Kemudian mangsa diarahkan memuat turun aplikasi untuk memantau pelaburan Bitcoin serta keuntungan yang diperolehimya,” katanya.
Menurut Mohd Sohaimi, mangsa membuat tiga pembayaran antara 30 Disember 2024 hingga 16 Januari lalu, ke dalam dua akaun bank berbeza berjumlah keseluruhan RM460,888.
Ujarnya, mangsa memaklumkan dapat melihat transaksi pelaburan dalam aplikasi itu, yang turut memaparkan keuntungan sebanyak USDT1,219,907.6624 atau bersamaan nilai RM5.5 juta.
“Namun, apabila mangsa ingin mengeluarkan keuntungan, dia diarahkan membayar RM550,152.35 sebagai bayaran pengurusan,” katanya.
Mangsa yang enggan membuat bayaran itu kerana mengesyaki dirinya ditipu akhirnya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam semalam, katanya.
Tambahnya, kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Siasatan katanya, turut merangkumi penglibatan ‘keldai akaun’ di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan instrumen pembayaran atau akaun di institusi kewangan.- MalaysiaGazette