BUKIT MERTAJAM – Pesakit jantung berlubang, Azra Azzahra Azlan, 4, memerlukan bantuan dana orang ramai berjumlah RM65,000 bagi menjalani pembedahan.
Pembedahan untuk kanak-kanak dari Bedong, Kedah itu perlu dijalankan segera dalam usaha menyelamatkan nyawanya selepas lubang jantung tidak tertutup sendiri.
Pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, masalah jantung kongenital yang dihadapi Azra Azzahra dikesan sejurus dia dilahirkan.
Katanya, doktor pada awalnya memaklumkan keadaan ketika itu tidak serius dan hanya perlu dipantau, dengan harapan lubang akan tertutup dengan sendirinya.
“Ketika pemeriksaan pada usia dua tahun, doktor mengesan kebocoran injap jantung tetapi dia tidak menunjukkan sebarang gejala kritikal seperti sianosis sekali gus tiada pembedahan diperlukan pada masa tersebut.
“Bagaimanapun Azra Azzahra baru-baru ini mula mengadu sakit dada dan mengalami masalah pernafasan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati lubang pada jantungnya semakin besar dan terletak berhampiran injap jantung, menyebabkan dia menghidap Ventricular Septal Defect (VSD) dan Aortic Regurgitation (AR),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Tambah Sui Hau, doktor mengesyorkan kanak-kanak itu menjalani pembedahan segera dalam usaha menyelamatkan nyawanya, namun memerlukan dana orang ramai sebanyak RM65,000.
“Bapanya, Azlan Abdul Halim, 35, merupakan seorang orang kurang upaya (OKU) akibat kemalangan jalan raya beberapa tahun lalu.
“Azlan yang tidak mampu berdiri atau duduk terlalu lama bekerja sebagai pembantu di gerai sate dengan upah RM70 sehari selain menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Ibunya pula, Nur Azmira Azmi, 35, seorang suri rumah yang sedang hamil anak keempat dan dijangka bersalin pada Ogos,” katanya.
Orang ramai yang berhasrat menghulurkan bantuan, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (nombor akaun: 3201428817) atau layari onehopecharity.org.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan, sila hubungi talian hotline, 04-539 9212, 016-4192 192, 019-2322 192, 018-911 4192. – MalaysiaGazette