KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Perniagaan,
Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) telah mengadakan perjanjian kolaborasi bersama
Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bagi kerjasama berkaitan undang-undang
persaingan.
FPEP dalam satu kenyataan menjelaskan, kolaborasi tersebut dimeterai menerusi
satu Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak, yang antara lain
membuka peluang kepada UMS dan MyCC untuk bekerjasama khususnya dalam
bidang pendidikan, penyelidikan, penerbitan dan latihan berkaitan dengan undang-
undang persaingan.
“Kolaborasi ini juga membuka peluang kepada sumber dan perkongsian ilmu di
antara pensyarah dan pegawai MyCC serta keutamaan penempatan latihan industri
kepada pelajar dan pensyarah UMS di MyCC.
“Ini akan memberi manfaat terutama kepada pelajar UMS dengan memberi
nilai tambah dan pendedahan industri kepada mereka, serta menyerlahkan
kerjasama erat yang berterusan di antara universiti awam dan agensi kerajaan
melalui perkongsian strategik sumber manusia dan kepakaran,” katanya.
Tambahnya, satu majlis pertukaran dokumen MoU antara UMS dan MyCC telah diadakan
bersempena dengan Simposium Undang-Undang Persaingan MyCC 2025 yang
dihadiri lebih 250 orang peserta.
UMS diwakili oleh Dekan FPEP, Prof. Madya Dr. Mohd Rahimie Abd Karim dalam
acara pertukaran dokumen MoU tersebut, manakala MyCC diwakili oleh
Pengerusinya, Tan Sri Idrus Harun, sambil disaksikan oleh Menteri
Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Terdahulu, Armizan dalam ucapannya berkata, kerjasama tersebut bukan sahaja
memberi tumpuan kepada memajukan pendidikan, dan penyelidikan, malah
mempromosi undang-undang persaingan sebagai disiplin akademik utama. – MalaysiaGazette