JOHOR BAHRU – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas yang menamakan calon mereka sebagai Perdana Menteri tidak layak untuk memimpin kerajaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berpendapat, ia kerana negara masih lagi akan berada bawah pemimpin generasi lama Perikatan Nasional (PN) yang pernah mentadbir sebelum ini.
“Sekarang sibuk di kalangan Bersatu dan Pas memasarkan nama pemimpin-pemimpin mereka yang layak jadi Perdana Menteri. Saya berpandangan sebaliknya, mereka tidak layak (memimpin negara).
“Mengapa PN yang terdiri daripada dua komponen penting Bersatu dan Pas tidak layak menjadi kerajaan Persekutuan dan pemimpin mereka yang ada sekarang tidak layak menjadi Perdana Menteri?
“Saya ingin memberi satu sebab sahaja bahawa adalah berbahaya kerajaan Persekutuan diserah pentadbirannya kepada pemimpin PN sekarang yang terdiri daripada Bersatu dan Pas.
“Kesalahan mereka yang saya sukar maafkan hingga sekarang ialah PN mengisytiharkan darurat seluruh negara dan menggantung Parlimen selama enam bulan.
“Pertimbangan saya terhadap keupayaan dan sikap bertanggungjawab pemimpin Bersatu dan Pas dalam menguruskan negara mungkin berubah jika Bersatu dan Pas berupaya mengemuka barisan pemimpin baru yang lebih rasional, amanah dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, selagi Bersatu dan Pas dipimpin generasi lama yang bertanggungjawab ‘membunuh’ demokrasi dengan menggantung Parlimen dan mengisytiharkan darurat di seluruh negara maka amat bahaya memberi kuasa kepada mereka yang mempunyai rekod menghancurkan demokrasi di Malaysia.
Beliau dan beberapa ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), katanya, terpaksa ke Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan untuk mencabar keputusan kerajaan PN itu yang dipimpin Perdana Menteri pada masa tersebut, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dakwanya, keputusan yang disifatkan satu pengkhianatan terhadap rakyat itu adalah sukar dimaafkan.
Terdahulu dalam satu kenyataan, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa PN tidak menghadapi masalah untuk mencari calon Perdana Menteri daripada kalangan parti gabungan itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16.
Ahli Parlimen Machang itu berkata, PN boleh mengemukakan lebih daripada satu nama untuk dipertimbangkan dan ditawarkan kepada pengundi.
Antara pemimpin yang dinamakan ialah Muhyiddin, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.- MalaysiaGazette