KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyifatkan gencatan senjata yang dipersetujui antara Israel dan Hamas sebagai kemenangan awal perjuangan rakyat Palestin dalam menghadapi kezaliman rejim zionis.
Dalam satu kenyataan, kata Mujahid yang Ahli Dewan Negara, tindakan rejim zionis yang terpaksa tunduk kepada gencatan senjata adalah bukti keberanian luar biasa rakyat Palestin yang mempertahankan maruah bangsa dan tanah air mereka.
“Dunia sedar bahawa perjuangan rakyat Palestin bukan sahaja mempertahankan tanah air mereka daripada dibantai zionis, tetapi juga menjadi harapan umat Islam seluruh dunia untuk membebaskan Masjid Al-Aqsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata Mujahid, pergolakan selama 15 bulan sejak Oktober 2023 yang menyaksikan hampir 45,000 nyawa terkorban, majoritinya wanita dan kanak-kanak malah tanpa perikemanusian bangunan seperti hospital, pusat perlindungan pelarian, dan kemudahan awam turut menjadi sasaran.
Namun katanya, semangat rakyat Gaza tidak pernah luntur, malah berjaya memaksa musuh menerima gencatan senjata selama 42 hari.
“Gelombang solidariti terhadap Palestin dari seluruh dunia, termasuk protes di Barat dan keputusan beberapa negara seperti Brazil dan Venezuela untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel, menjadi pukulan hebat kepada rejim zionis di pentas antarabangsa.
“Keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang mengisytiharkan Benjamin Netanyahu dan Yoav Gallant sebagai penjenayah perang sebagai kemenangan moral besar buat Palestin,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mujahid memuji usaha dan komitmen berani Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terus membawa suara Palestin di pentas antarabangsa, termasuk di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Katanya, Malaysia juga komited untuk membantu dalam pembangunan semula Palestin serta memudahkan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
“Kini semuapihak mengambil peluang semasa gencatan senjata ini untuk meningkatkan usaha penghantaran bantuan kemanusiaan.
“Umat Islam agar terus yakin bahawa pembebasan Palestin dan Masjid Al-Aqsa akan membawa keamanan kepada seluruh dunia, gencatan ini adalah permulaan kepada kemenangan mutlak Palestin,” tegasnya. -MalaysiaGazette