KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Negara, Dr RA Lingeshwaran menggesa pihak-pihak yang mengkritik sistem waktu bekerja berlainan (WBB) yang bakal dikuatkuasakan kepada pekerja penjagaan kesihatan awam untuk memberi peluang kepada pelaksanaannya sebelum membuat kesimpulan.
Lingeshwaran yang juga mantan Pengarah Hospital Sungai Bakap di Pulau Pinang berkata, isu ini telah disalah tafsir kerana tumpuan diberikan kepada pengurangan jumlah elaun ‘on call’ bagi pegawai perubatan dan pakar di bawah sistem baharu itu.
Sedangkan, sistem baharu itu dijadual dilaksanakan di tujuh hospital bermula 1 Februari, akan meningkatkan kualiti hidup pekerja kesihatan.
Ini kerana kata beliau, isu ini telah disalah tafsir kerana tumpuan diberikan kepada pengurangan jumlah elaun ‘on call’ bagi pegawai perubatan dan pakar di bawah sistem baharu itu.
“Di bawah WBB, had waktu kerja lebih rendah berbanding 24 hingga 33 jam berturut-turut dalam sistem on-call sedia ada.
“Elaun semasa untuk panggilan aktif selama 24 jam ialah RM220, manakala di bawah WBB, doktor akan menerima RM275 untuk 15 jam panggilan aktif, iaitu had maksimum yang ditetapkan untuk setiap panggilan.
“Jumlah maksimum waktu kerja pegawai perubatan (MO) dalam seminggu di bawah WBB adalah 75 jam, termasuk 45 jam kerja wajib mingguan. Mereka juga akan mendapat dua hujung minggu cuti setiap bulan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau mengulas kritikan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh yang meminta sistem WBB ditangguhkan.
Dr Akmal sebelum ini mendakwa andai sistem WBB ini dilaksanakan maka lebih ramai doktor akan keluar daripada terus berkhidmat di hospital kerajaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau juga berkata, beliau bersetuju dengan sebarang penambahbaikan dalam sistem penjagaan kesihatan awam, namun WBB bukan penambaikan yang diharapkan.
Pemimpin DAP itu berkata, waktu kerja yang lebih pendek akan memberi manfaat besar kepada doktor kerana mereka dapat meluangkan lebih banyak masa berkualiti bersama keluarga, sekali gus mengurangkan tekanan.
“Banyak kes kecuaian perubatan di hospital awam telah dikaitkan dengan waktu kerja yang panjang tanpa rehat yang mencukupi. Saya sendiri telah banyak kali menyentuh tentang isu ini di dewan negara dan laporan media selama ini.
“Sebenarnya sistem WBB bertujuan mengurangkan kejadian seperti itu,” tegasnya.
Beliau juga berkata, bagi hospital yang kekurangan kakitangan, kemungkinan doktor memperoleh lebih banyak elaun on-call adalah tinggi kerana mereka mungkin perlu bertugas lebih kerap daripada jumlah yang ditetapkan.
WBB adalah sistem baharu Kementerian Kesihatan Malaysia yang mengehadkan waktu kerja doktor dan doktor gigi dalam perkhidmatan kesihatan awam kepada 18 jam berturut-turut.
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sebelum ini juga menyuarakan kebimbangan pelaksanaan WBB untuk pekerja penjagaan kesihatan awam akan memburukkan lagi kekurangan tenaga kerja sedia ada, menyebabkan doktor dibebani tugas berlebihan dan menjejaskan kualiti penjagaan pesakit.
Manakala Menteri Kesihatan, Datuk Dr Dzulkifly dilaporkan berkata, sistem syif baharu untuk pekerja penjagaan kesihatan awam masih di peringkat cadangan dan belum mendapat kelulusan untuk dilaksanakan.– MalaysiaGazette