KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh peranan akademik dan komuniti melalui penganjuran Program Jom Masuk Hubungan Industri
(IR) yang berlangsung di SMK Bongawan baru-baru ini.
Program anjuran Kelab Mahasiswa Program Hubungan Industri (INDREC) Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) itu disasarkan kepada pelajar Tingkatan 4
dengan matlamat memberikan pendedahan awal tentang kepentingan hubungan industri dan pembangunan komuniti dalam dunia moden.
Ketua Program Hubungan Industri FSSK UMS, Dr. Noor Syakirah Zakaria menekankan, program tersebut adalah platform yang sesuai untuk pelajar memahami kepentingan hubungan industri dan komuniti setempat, selaras dengan keperluan pasaran kerja global.
“Perkhemahan ini bukan sahaja memperkukuh jalinan hubungan antara universiti dan komuniti, tetapi juga mempersiapkan pelajar untuk menghadapi cabaran dunia
kerja dengan kemahiran yang lebih holistik,” katanya.
Pengetua SMK Bongawan, Masrin Zaini yakin inisiatif tersebut mampu memberi manfaat besar kepada kedua-dua pihak, baik pelajar sekolah mahupun ahli kelab INDREC.
“Program ini tidak hanya mendidik pelajar sekolah tentang peluang pendidikan tinggi, tetapi juga melatih mahasiswa dalam bidang pengurusan acara dan komunikasi selari dengan peranan UMS untuk melahirkan graduan berkemahiran tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah jawatankuasa program, Nurfaradillah Aidine merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, serta menyatakan kerjasama erat antara mahasiswa INDREC, pihak sekolah, dan komuniti setempat memainkan peranan penting dalam kejayaan program ini.
“Kami belajar untuk menjadi pemimpin yang bertanggungjawab sambil memberi impak positif kepada komuniti. Ini adalah pengalaman yang tidak ternilai,” katanya.
Pensyarah Penasihat INDREC, Azizan Haji Morshidi turut menegaskan program tersebut adalah sebahagian daripada usaha fakulti untuk memupuk kesedaran sosial dalam kalangan pelajar universiti.
“Program ini selaras dengan aspirasi UMS untuk menjadi universiti mesra komuniti yang mementingkan kesejahteraan masyarakat sekali gus memperkukuh peranan INDREC sebagai platform untuk melatih pelajar dalam aspek hubungan industri dan komuniti,” ujar beliau.
Program yang berlangsung selama sehari itu turut menampilkan dua penceramah jemputan utama dari FSSK, iaitu Prof Madya Dr. Dzurizah Ibrahim dan Dr. Fauzie
Sarjono yang memberikan ceramah bertemakan kepentingan hubungan industri dan pembangunan kompetensi pelajar di era globalisasi. – MalaysiaGazette