NEW DELHI – Pelakon filem terkenal India Saif Ali Khan yang mengalami pelbagai kecederaan semasa cubaan merompak di rumahnya di kawasan Bandra yang mewah di Mumbai, telah dipindahkan dari unit rawatan rapi selepas keadaannya bertambah baik.
“Dia sihat. Keadaannya bertambah baik. Dia dipindahkan dari ICU ke bilik khas. Kami akan mengawal pelawat. Kami mahu dia berehat,” kata Ketua Pegawai Operasi Hospital Lilavati Niraj Uttamani kepada media tempatan.
Khan juga sudah diberi diet biasa.
Bintang berusia 54 tahun itu, yang telah berlakon kira-kira 70 filem Bollywood, mengalami enam kesan tikaman di leher, saraf tunjang, dan tangannya dalam serangan itu sekitar jam 2.30 pagi Khamis lalu.
“Kami mengeluarkan pisau 2.5 inci dari tulang belakang,” kata Uttamani.
Khan tinggal di rumah Mumbai bersama isteri pelakonnya Kareena Kapoor dan dua anak kecil mereka Taimur dan Jeh Ali Khan.
Dalam pada itu, Kareena dalam satu kenyaraan meminta media elak daripada membuat spekulasi dan membuat liputan yang tidak henti-henti.
Serangan ke atas Khan telah mengejutkan industri filem India serta peminatnya di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat mengenai jenayah di negeri Maharashtra yang terkenal sebagai hab filem dan kewangan negara itu.
Pada Oktober, Ziauddin Siddique, bekas menteri negeri Maharashtra yang lebih dikenali sebagai Baba Siddique, ditembak mati di kawasan Bandra.
Tahun lalu, tembakan dilepaskan di luar rumah Salman Khan di Bandra.
Akhbar Indiaan Express melaporkan setakat ini tiada tangkapan dibuat. – Agensi