Anwar Ibrahim memberi syarahan umum dan merasmikan auditorium Malaysia di London School of Economics di London, United Kingdom pada 17 Januari 2025. - foto PMO

LONDON – Lawatan kerja lima hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke United Kingdom (UK) yang berakhir hari ini, berjaya menarik potensi pelaburan bernilai RM11 bilion dalam pelbagai sektor, termasuk tenaga boleh baharu dan ekonomi digital.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, potensi eksport yang dijana dalam tempoh lima tahun akan datang berjumlah RM500 juta yang meliputi produk peralatan dan komponen pesawat, perabot serta makanan dan minuman.

Perkembangan itu, kata beliau, turut menunjukkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap ekonomi Malaysia selain hubungan kerjasama yang lebih erat dengan kerajaan UK.

“Dalam pertemuan dengan ketua-ketua syarikat yang diselaraskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), nampaknya ada peningkatan mendadak dari segi kesediaan (untuk melabur),” kata beliau pada sidang media bersama media Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja itu di sini.

Dalam lawatan itu, Anwar turut mengadakan pertemuan dengan beberapa syarikat besar di UK seperti Standard Chartered dan Jaguar Land Rover.

Mengulas selanjutnya, Anwar berkongsi wujudnya tanda-tanda keyakinan daripada pihak kerajaan UK dan Perdana Menterinya Sir Keir Starmer untuk mengukuhkan lagi kerjasama serta hubungan dengan Malaysia.

Beliau juga telah dimaklumkan Starmer akan menghantar Menteri Pembangunan UK Anneliese Dodds ke Malaysia pada bulan depan dan disusuli dengan kehadiran Menteri Indo-Pasifik Catherine West pada Mac depan.

“Bila mendapat isyarat seumpama itu nampaknya sudah ada komitmen untuk melabur RM11 bilion dalam pelbagai sektor seperti automatif, digital, tenaga boleh baharu, perbankan, hartanah dan petrokimia,” kata beliau.

Dalam lawatan itu yang juga pertama beliau sebagai Perdana Menteri ke UK, Anwar turut bertemu rakan sejawatannya Starmer di No.10 Downing Street pada Rabu.

Starmer menerusi satu ciapan di X selepas pertemuan itu berkata : “Hubungan akrab dan bersejarah. Daripada pelaburan hingga ke perdagangan dan pendidikan, hubungan UK dengan Malaysia kini lebih kukuh berbanding sebelumnya.”

Anwar berkata perdagangan antara kedua-dua negara juga dijangka meningkat berikutan penyertaan dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

“Melalui CPTPP, penyertaan dalam kontrak, profesional dan barangan lebih mudah dibawa dari Malaysia.

“Syarikat-syarikat besar Malaysia seperti YTL, Tenaga Nasional Bhd, Gamuda, EcoWorld yang melabur dan mempunyai projek besar di sini, akan mendapat faedah (daripadanya),” kata beliau.

Di bawah CPTPP, barangan seperti minyak kelapa sawit dan getah Malaysia yang sebelum ini dikenakan tarif masing-masing 12 peratus dan 6.5 peratus, akan mendapat manfaat akses sifar tarif ke pasaran UK. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here