Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bercakap kepada wartawan selepas selesai membuat lawatan ke booths pameran kesihatan pada program ÔFuture Health For AllÕ di Dewan Merbau IWK Eco Park, Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 18 JANUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Setelah beberapa gergasi media sosial seperti Meta yang mengendalikan Facebook dan Instagram membuat permohonan untuk mendapatkan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan (ASP) di Malaysia, Microsoft juga  sudah memulakan proses tersebut.

Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadizil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah mengadakan pertemuan dengan pemilik LinkedIn.

“SKMM telah mula berhubung dengan pihak Microsoft yang memiliki LinkedIn untuk memulakan proses pendaftaran tersebut.

“Perbincangan masih berjalan bagi kedua-dua aplikasi iaitu X dan YouTube manakala bagi pihak Meta, mereka dalam fasa akhir sama seperti yang saya sebut baru baru ini, ada satu dokumen yang sedang dalam proses untuk mereka menghantar,” katanya.

Fahmi berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri proses Rintis Future Health For All (FH4A) Bolehkan Rakyat Nikmati Manfaat Teknologi Kesihatan, di Lembah Pantai hari ini.

Semalam, Fahmi berkata, Facebook dan Instagram sedang menyiapkan dokumentasi untuk memenuhi keperluan perundangan khas sebagai sebahagian daripada proses pelesenan itu.

Manakala Google dan X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter) sedang melalui penilaian bagi memastikan status pematuhan mereka.

Beliau berkata, Google bagaimanapun mendakwa mereka bukan platform media sosial namun kementerian tetap dengan pendirian beberapa bahagian YouTube di bawah Google seperti YouTube Shorts berfungsi seperti media sosial, menyerupai TikTok.

Setakat ini Telegram, TikTok dan WeChat sudah mendapatkan lesen sebagai penyedia perkhidmatan pesanan internet.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dilapor berkata, kerajaan akan menutup operasi mana-mana penyedia perkhidmatan media sosial dan pesanan internet di negara ini, yang didapati enggan patuh terhadap arahan memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Timbalan Perdana Menteri itu menjelaskan tindakan tegas itu akan dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2025, susulan kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan internet diperkenal bermula 1 Ogos ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here