Fadillah (tengah) dan Onn Hafiz (kiri) menyempurnakan Majlis Pembukaan Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru malam ini.

JOHOR BAHRU – Malaysia bakal menerima impak ekonomi bernilai lebih RM7.38 bilion hasil penganjuran 850 persidangan dan program antarabangsa di seluruh negara yang bermula sejak 2023 sehingga 2026.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sasaran tersebut turut dijayakan menerusi pelaksanaan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) yang dijangka merekodkan pendapatan sehingga RM147.1 bilion dengan kemasukan seramai 35.6 juta pelancong ke negara ini.

“ASEAN menawarkan pasaran pelancongan dinamik yang turut menunjukkan pemulihan positif pasca pandemik Covid-19 dan ia dapat dilihat dengan peningkatan ketibaan pelancong global sebanyak dua peratus pada 2024 berbanding 2019.

“Rantau Asia Tenggara pula, telah menyambut lebih daripada 100 juta pelancong pada 2023 dan jumlah itu merupakan 70 peratus daripada tahap direkodkan sebelum pandemik Covid-19.

“Justeru, menjelang 2024, rantau ini telah melepasi ketinggian 130 juta pelancong global yang sekali gus menandakan pemulihan sepenuhnya dan kejayaan ini mencerminkan ketahanan dan sikap optimis ASEAN dalam memajukan sektor pelancongan khususnya di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Pembukaan Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Untuk rekod, ATF 2025 yang bertemakan Unity in Motion: Shaping ASEAN’s Tourism Tomorrow yang berlangsung sejak Jumaat hingga Selasa ini turut menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan dalam sektor pelancongan di Asia Tenggara sebagai usaha membantu meningkatkan kerjasama dan menggalakkan pertumbuhan mampan sektor pelancongan di rantau ini.

Ia merupakan penganjuran kali kedua ATF di negara ini, setelah penganjuran pertama di Kuching, Sarawak pada 2014.

Sementara itu, Fadillah berkata, negara-negara ASEAN tidak hanya menumpukan kepada usaha pemulihan sektor pelancongan tetapi juga melibatkan aspek peralihan kepada strategi pelancongan mampan dan berkualiti tinggi.

“Rantau ASEAN mempunyai potensi besar bagi memimpin usaha hijau dan tenaga boleh diperbaharui. Ia juga boleh diintegrasikan dengan pelancongan inovatif yang berasaskan komuniti, eko-pelancongan, dan pelancongan regeneratif dalam usaha memastikan manfaat yang diperolehi diterima dan dikongsi bersama.

“Sehubungan itu, satu Pelan Tindakan Bagi Pembangunan Pelancongan Mampan di ASEAN melibatkan kerajaan serta swasta bagi meningkatkan infrastruktur dan kualiti hidup untuk penduduk dan pelawat (pelancong),” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast