MERSING – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Mersing hari ini membantu membawa keluar seorang lelaki di Pulau Rawa di sini yang cedera di muka untuk mendapatkan rawatan.
Misi bantuan evakuasi perubatan (MEDEVAC) itu membawa lelaki berkenaan yang tercedera ketika mengendalikan mesin pembancuh simen di pulau berkenaan pukul 10 pagi tadi.
Pengarah Maritim Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, bot ronda Maritim Malaysia Perkasa 44 yang sedang dalam rutin Op Jaksa/ Op Tiris 3.0 diarahkan ke lokasi bantuan setelah menerima aduan daripada majikan mangsa yang tercedera.
“Walaupun dalam keadaan hujan lebat, angin kuat dan laut yang bergelora, bantuan MEDEVAC tersebut berjaya membawa mangsa Albert Emmanuel Anak Akuang, 28, yang telah cedera dan mengalami banyak pendarahan, dari Pulau Rawa ke Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Maritim Mersing pada pukul 10.30 pagi.
“Mangsa kemudiaan diserahkan kepada pihak Hospital Mersing dalam keadaan baik dan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu katanya, Maritim Malaysia akan sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi apa jua keadaan dalam memberi khidmat bakti kepada komuniti maritim setempat.
Tambahnya sebarang aduan kecemasan dan aduan keselamatan dilaut segera hubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim.- MalaysiaGazette