KOTA TINGGI – Satu mayat lelaki tempatan ditemui terdampar dengan hanya berseluar pendek putih di Pantai Desaru, dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kaunter aduan Balai Polis Bandar Penawar menerima satu aduan penemuan tersebut pada pukul 7.30 pagi.

“Pemeriksaan mendapati mayat lelaki itu berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun dan berkulit putih dipercayai warga tempatan berbangsa Cina ditemui tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.

“Terdahulu kita menerima aduan dan bertindak atas maklumat, Ketua Balai Polis Bandar Penawar dan anggota digerakkan untuk menjalankan siasatan di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, pemeriksaan yang dijalankan oleh pegawai kesihatan dari Klinik Kesihatan Felda Sening di lokasi kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Tambahnya, mayat mangsa dibawa ke Bahagian Forensik, Hospital Kota Tinggi untuk tindakan prosedur siasatan.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan mengesahkan kematian mangsa adalah disebabkan lemas dalam air. Kes diklasifikasikan di bawah Laporan Mati Mengejut (SDR),” ujarnya.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai waris mangsa atau mempunyai ahli keluarga yang hilang untuk segera menghubungi pegawai penyiasat, Insp Asnalisz bin Zainal menerusi talian 016-444 6871.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here