KUALA LUMPUR – Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Luar Negeri akan mempengerusikan Sesi
Pemukiman Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN (AMM Retreat) pada 19 Januari 2025 di Langkawi, Kedah.
Sesi Pemukiman Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN ini merupakan mesyuarat berjadual yang pertama di dalam kalendar tahunan ASEAN di peringkat Menteri di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Kementerian Luar Negeri berkata, sesi Pemukiman ini akan melibatkan penyertaan Menteri-Menteri Luar Negeri dan pegawai-pegawai
kanan dari negara anggota ASEAN. Menteri Luar Negeri Timor-Leste juga dijemput sebagai Pemerhati ASEAN.
Turut serta dalam mesyuarat ini adalah Setiausaha Agung ASEAN dan wakil dari Myanmar.
Sewaktu sesi pemukiman ini, Malaysia akan memperkenalkan cadangan bidang-bidang keutamaan dan keberhasilan yang menjadi fokus sepanjang tempoh Kepengerusiannya selaras dengan tema Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 iaitu ‘Keterangkuman’ (Inclusivity) dan ‘Kemampanan’
(Sustainability).
Katanya, Malaysia akan mengetengahkan kepimpinan negara dalam menyumbang ke arah pengukuhan Komuniti ASEAN melalui cadangan bidang-bidang keutamaan dan keberhasilan yang telah dikenalpasti yang merentasi ketiga-tiga tonggak ASEAN, iaitu tonggak politik-keselamatan, ekonomi dan
sosio-budaya.
Pendekatan ini bertujuan memastikan ASEAN yang lebih bersepadu, inklusif dan mampan, sekali gus memperkukuhkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.
Sesi pemukiman ini juga akan membincangkan hala tuju strategik ASEAN, termasuk usaha memperkukuh pembangunan Komuniti ASEAN dan hubungan luar ASEAN.
Selain itu, mesyuarat ini juga akan membincangkan tindakan susulan kepada keputusan-keputusan yang telah dicapai oleh para pemimpin ASEAN semasa Sidang Kemuncak ASEAN Ke-44 dan Ke-45 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan di Vientiane, Laos pada Oktober 2024.
Selain itu, Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN akan bertukar pandangan mengenai perkembangan terkini isu-isu serantau dan antarabangsa, termasuk krisis di Myanmar, ketegangan geopolitik dan cabaran-cabaran lain yang memberi kesan kepada keamanan dan kestabilan serantau.
Menteri Luar juga akan mengambil peluang untuk mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat bagi membincangkan isu-isu pengukuhan ASEAN dan hubungan dua hala. – MalaysiaGazette