KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam perbincangan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melihat sekiranya integrasi dengan sistem MySikap dapat diwujudkan bagi memudahkan proses jual beli motosikal terpakai.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia melibatkan pelbagai aspek termasuk pengurusan data saman tertunggak, pertukaran hak milik kenderaan dan penggunaan teknologi bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan.
“Integrasi ini akan membolehkan pengguna menyemak status saman tertunggak dan memastikan maklumat kenderaan dikemaskini sebelum transaksi jual beli dilakukan.
“Untuk industri kereta terpakai, memang dalam pasaran ada banyak platform untuk mereka memilih transaksi tetapi untuk belum lagi ada untuk motosikal.
“Dalam pada itu, proses penukaran hak milik kenderaan juga dapat dipermudahkan kerana dapat mengelakkan pembelian tertangguh akibat dokumen yang tidak lengkap atau saman yang belum diselesaikan daripada pemilik sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Rider Gate ‘Jom Cari Motor’ di Lanai @ Matic hari ini.
Menurut Anthony lagi, hanya data yang relevan akan dikongsi melalui platform baharu itu.
“Cuma ada data-data yang relevan sahaja yang mungkin kita boleh integrasikan. Jadi itu yang kita katakan perlu ada perbincangan lebih lanjut sebelum integrasi ini berlaku,” tambahnya. – MalaysiaGazette