KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan, Kementerian Sumber Manusia dan Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (CAAM) diminta mengambil perhatian serius berhubung penamatan operasi True Air Sdn Bhd selepas dua tahun ditubuhkan, berpunca daripaa kelemahan sistem yang ada.
Sekretariat Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) berkata, penutupan operasi syarikat penerbangan ini sudah pastinya
menyebabkan para petugas kehilangan pekerjaan.
Ini adalah satu petanda negatif kepada industri penerbangan yang melibatkan ramai pekerja muda negara termasuk kru kabin, jurutera dan juruterbang.
“Selepas syarikat baharu mendapat Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) atau Permit Perkhidmatan Udara (ASP) dan mula beroperasi beberapa bulan, akan mula mengalami isu kewangan yang teruk.
“Yang terkesan adalah pekerja yang mengharapkan dapat bertahan lama di syarikat ini. Gaji pekerja pula tidak dibayar beberapa bulan dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) semakin tertunggak.
“Masalah yang berlarutan ini telah menjejas ramai pekerja industri ini kerana sistem pemantauan yang sedia ada masih lemah,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Khamis lalu, True Air yang dijenama semula daripada SKS Airways mengumumkan akan menghentikan operasinya kerana pelbagai faktor termasuk cabaran dalam persekitaran kawal selia, kekangan operasi dan landskap penerbangan yang lebih luas.
Ia merupakan syarikat penerbangan tempatan kedua, selepas MYAirline Sdn. Bhd. yang telah berhenti beroperasi selepas pandemik Covid-19.
“Sejak penubuhannya, True Air komited untuk menyediakan perkhidmatan perjalanan udara yang selamat dan boleh dipercayai, berusaha untuk menyumbang secara bermakna kepada sektor penerbangan Malaysia.
“Walau bagaimanapun, keadaan dan kerumitan industri yang berkembang telah menimbulkan halangan yang menyebabkan kami tidak dapat meneruskan operasi.
“Faktor utama dalam keputusan ini ialah kesedaran bahawa operasi melangkau pulau menggunakan pesawat Twin Otter tanpa geran kerajaan bukanlah model perniagaan yang berdaya maju.
“Selain itu, mengendalikan pesawat jet sebagai syarikat penerbangan permulaan terbukti sama mencabar, seterusnya menyumbang kepada kesimpulan yang sukar ini,” katanya dalam atu kenyataan.
Dalam kenyataan itu, syarikat penerbangan tersebut komited untuk memastikan semua komitmen kewangan tertunggak diselesaikan sepenuhnya, dan tidak meninggalkan hutang.
Keputusan itu dibuat di tengah-tengah penggantungan 90 hari sijil pengendali udara (AOC) SKS Airways oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), yang sepatutnya berakhir pada 21 Januari ini.
ASL yang dikeluarkan oleh pengawal selia penerbangan ekonomi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), tamat tempoh pada 31 Disember 2024.
NUFAM yang kecewa dengan perkembangan ini berkata, pihaknya kesal kerana sudah pun memberi beberapa cadangan kepada pihak kerajaan mengenai isu operasi syarikat penerbangan in, malangnya tidak diambil serius.
Akibatnya, satu demi satu syarikat penerbangan telah ‘bungkus’ dan beribu pekerja telah terkesan dengan penutupan syarikat penerbangan ini.
“Baru tahun lepas ramai pekerja di syarikat MyAirlines telah terjejas, malah isu penyelesaian gaji dan sebagainya oleh syarikat ini juga masih belum diselesaikan.
“Sebagai kesatuan, kami amat bimbang kerana pekerja-pekerja penerbangan ini membayar fi latihan kepada pusat akademi penerbangan untuk menjadi kru kabin, jurutera dan juruterbang tapi mereka tidak diberi jaminan pekerjaan.
“Syarikat penerbangan ini hanya memberi jaminan mulut tapi hakikatnya masalah gaji dan pembayaran lain masih tertunggak,” ujarnya,
Oleh itu, NUFAM menegaskan, pihak berkuasa harus mengambil sikap proaktif mengenai isu ini kerana ia melibatkan masa depan pekerja industri penerbangan yang menjadi mangsa keadaan. – MalaysiaGazette