BATU PAHAT – Padah menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai pekerja, tiga majikan warga tempatan diberkas dalam Ops Gegar selepas menyerbu empat premis pusat urut dan refleksologi di sini kelmarin.
Meraka yang ditahan itu melibatkan seorang wanita berusia 70 tahun dan dua lelaki berusia 41 tahun yang merupakan penjaga premis pusat refleksologi.
Semua PATI berkenaan pasrah apabila ditahan selepas tidak sempat melarikan diri kerana tidak menyedari kehadiran pasukan serbuan yang ‘masuk’ secara senyap ke premis berkenaan.
Kejayaan itu adalah hasil sepasukan pegawai dari Bahagian Penguatkuasa JIM Johor serta pegawai Bangunan Sultan Iskandar dalam serbuan pada pukul 7.10 petang.
Menurut Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, dalam operasi tersebut seramai 64 warga asing termasuk warga tempatan diperiksa.
“Tangkapan dibuat melibatkan 22 wanita warganegara Thailand, seorang wanita warganegara Myanmar serta seorang wanita warganegara Indonesia berusia antara 20 tahun hingga 42 tahun.
“Selain itu tiga warga tempatan tersebut turut ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, semua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Jelasnya, sebanyak enam notis untuk hadir ke pejabat dikeluarkan kepada individu-individu sepanjang operasi tersebut bagi membantu siasatan.
Semua tahanan katanya, ditempatkan di Depot Imigresen Pekan Nanas, Pontian untuk siasatan dan tindakan lanjut.
JIM Johor tegasnya, akan terus mempergiatkan lagi usaha penguatkuasaan di negeri itu bagi membanteras isu kebanjiran PATI.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap PATI yang melanggar undang- undang serta majikan dan pemilik premis yang menggajikan pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan pas/permit yang sah,” ujarnya.- MalaysiaGazette