Gambar hiasan Foto: CGTN

HONG KONG Penduduk China jatuh untuk tahun ketiga berturut-turut pada 2024, dengan jumlah kematian mengatasi sedikit peningkatan dalam kelahiran.

Biro Perangkaan Kebangsaan berkata, jumlah penduduk China menurun sebanyak 1.39 juta kepada 1.408 bilion pada 2024, berbanding 1.409 bilion pada 2023.

Data terbaharu itu mengukuhkan kebimbangan bahawa ekonomi kedua terbesar dunia itu akan bergelut apabila bilangan pekerja dan pengguna berkurangan.

Peningkatan kos daripada penjagaan warga emas dan faedah persaraan juga berkemungkinan menimbulkan tekanan tambahan kepada kerajaan tempatan.

Jumlah kelahiran China ialah 9.54 juta berbanding 9.02 juta pada 2023, kata biro perangkaan itu.

Manakala kadar kelahiran meningkat kepada 6.77 kelahiran bagi setiap 1,000 orang pada 2024 berbanding 6.39 setiap 1,000 orang pada 2023.

Jumlah kematian ialah 10.93 juta pada 2024 daripada 11.1 juta pada 2023.

Kadar kelahiran China telah menurun selama beberapa dekad akibat dasar satu anak yang dilaksanakan China dari 1980 hingga 2015 serta pembandaran yang pesat.

Seperti di negara jiran Jepun dan Korea Selatan, sejumlah besar orang China telah berpindah dari luar bandar ke bandar, walaupun mereka yang mempunyai anak terpaksa menanggung kos lebih mahal.

Kos penjagaan anak dan pendidikan yang tinggi serta ketidaktentuan pekerjaan dan ekonomi yang semakin perlahan juga menyebabkan ramai anak muda China tidak mahu berkahwin dan membina keluarga.

Diskriminasi jantina dan jangkaan tradisional untuk wanita menjaga rumah memburukkan lagi isu ini, kata ahli demografi.

Kenaikan 12.4 peratus dalam perkahwinan pada 2023 – banyak yang tertangguh akibat pandemik Covid 19, menyumbang pemulihan dalam kelahiran pada 2024, kata ahli demografi, tetapi jumlah itu dijangka menurun lagi pada 2025.

Perkahwinan adalah penunjuk utama untuk kadar kelahiran di China, memandangkan ramai wanita bujang tidak dapat mengakses faedah membesarkan anak.

Pihak berkuasa melancarkan satu siri langkah pada 2024 untuk meningkatkan kadar kelahiran China.

Pada bulan Disember mereka menggesa kolej dan universiti untuk mengintegrasikan perkahwinan dan “pendidikan cinta” ke dalam kurikulum mereka untuk menekankan pandangan positif tentang perkahwinan, cinta, kesuburan dan keluarga. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here