KENINGAU – Seorang pelajar tahun akhir Kolej Vokasional (KV) Keningau, Ashraf Daniel Anuar, terpilih sebagai salah seorang daripada 20 pencipta kandungan ASEAN Live Creators for Change yang akan menerima geran dan bimbingan daripada ASEAN Foundation.
Ashraf akan bersiaran langsung melalui platform TikTok berkenaan dengan topik-topik sosiobudaya yang relevan terhadap wilayah ASEAN selama enam bulan.
Kesemua 20 belia yang terpilih dari negara-negara Asia Tenggara untuk program ini menerima geran berjumlah AS$1,000 bersamaan dengan RM4,000 lebih dan senarai pencipta kandungan yang terpilih diumumkan secara rasmi di kesemua laman media sosial penganjur pada 16 Januari 2025.
Pelajar program Bakeri dan Pastri ini telah menghantar penyertaan video TikToknya untuk pertandingan ini beberapa bulan lepas dengan memaparkan tiga aspek utama dalam videonya iaitu tarian tradisional, makanan tradisional dan penulisan karya seni.
Dia turut merakam klip pendek dia membuat persembahan tarian etnik serta memasukkan rakaman dia memperagakan baju tradisional Bajau-Samah iaitu kaum etniknya sendiri dalam video berdurasi hampir 60 saat tersebut.
Ashraf juga merupakan seorang pelajar yang aktif dalam pelbagai bidang di kolej itu dan telah mewakili KV Keningau dalam beberapa pertandingan kemahiran dan persembahan tarian.
Dia juga pernah berjaya menerbitkan karya puisinya di sebuah majalah bahasa Inggeris.
Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang, menzahirkan rasa bangga ke atas pencapaian pelajar ini sejajar dengan misi pendidikan kolej vokasional, pelajar harus proaktif menguasai trend masa kini.
Mereka bukan sahaja perlu memainkan peranan sebagai pengguna kandungan digital yang bijak tapi juga pencipta kandungan digital yang berkualiti dan berfaedah. – MalaysiaGazette