ANKARA – Kementerian Luar Qatar berkata perjanjian gencatan senjata bagi Semenanjung Gaza akan berkuat kuasa pada 8.30 pagi waktu tempatan pada Ahad, 19 Januari 2025.
“Seperti yang diselaraskan oleh pihak-pihak dalam perjanjian dan pengantara, gencatan senjata di Semenanjung Gaza akan bermula pada 8:30 pagi pada hari Ahad, 19 Januari, waktu tempatan di Gaza,” kata jurucakap kementerian itu di X
Berikutan itu, kementerian berkenaan menasihatkan penduduk supaya mengambil langkah berjaga-jaga, berhati-hati sepenuhnya, dan menunggu arahan daripada sumber rasmi.
Qatar mengumumkan perjanjian gencatan senjata tiga fasa pada hari Rabu lalu untuk menamatkan lebih 15 bulan serangan Israel di Semenanjung Gaza dengan gencatan senjata dijangka berkuat kuasa pada Ahad ini.
Perang sejak 7 Oktober 2023 itu telah menyebabkan kira-kira 46,900 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terbunuh manakala lebih 110,600 cedera.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap ke atas Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant kerana melakukan jenayah perang dan kemanusiaan di Gaza.
Israel juga menghadapi kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa kerana perangnya terhadap kawasan itu. – Agensi