TELUK BAHANG – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) perlu melaksanakan penilaian pihak ketiga dalam setiap program yang dijalankan bagi memastikan ia memberi manfaat kepada rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Jelas beliau, penilaian objektif adalah penting untuk mengukur kejayaan dan keberkesanan program yang dirancang sekali gus memastikan impaknya selaras dengan keperluan masyarakat.
“Penilaian pihak ketiga adalah pendekatan terbaik untuk mengukur keberkesanan program secara adil dan tepat.
“Setiap inisiatif yang dilaksanakan perlu memenuhi keperluan rakyat dan selaras dengan matlamat kesejahteraan mereka,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Makan Malam Pemukiman KKDW 2025 di Hotel Bahang Bay hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid juga menggesa kementeriannya untuk memperluaskan inisiatif pasca penyerahan (post-delivery service) dalam setiap program pembangunan terutamanya dalam Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS).
“Kita tidak boleh sekadar membina rumah tanpa memastikan penerima benar-benar menikmati manfaat yang diharapkan. Tindakan susulan seperti bertemu penerima dan menilai kepuasan mereka adalah penting.
“Penggunaan teknologi seperti papan pemuka digital, sistem pemetaan interaktif dan bank data boleh membantu memantau prestasi projek dengan lebih efisien dan memastikan keberkesanan setiap program.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyatakan pemukiman KKDW kali ini berjaya menghasilkan idea-idea bernas untuk mentransformasi dan memperkukuh ekosistem KKDW.
“Resolusi yang dirumuskan akan dibawa ke Permukiman Jemaah Menteri pada Februari 2025 untuk perbincangan lebih lanjut,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Antara Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Wakaf Pulau Pinang dan Perda Ventures Incorporated Sdn Bhd (PVI).
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Mohamad Abdul Hamid dan Pengerusi Perda, Datuk Shaik Hussein Mydin.
Projek pembangunan tersebut dijalankan di atas tanah wakaf Lot 60, Mukim 11, Bayan Lepas yang diberikan oleh dermawan, Allahyarham Puteh Haji Masseh yang diwakafkan pada 9 Oktober 1948.
MAINPP akan melaksanakan projek pembangunan berimpak tinggi yang melibatkan pembinaan 510 unit pangsapuri dan 12 unit komersial di atas tanah seluas 1.15 hektar dengan nilai keseluruhan RM170.1 juta.
Projek itu yang dilaksanakan oleh PVI telah mendapat kelulusan Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah Wakaf MAINPP pada 13 Ogos tahun lalu. – MalaysiaGazette