KUALA LUMPUR – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) melalui Suruhanjaya Tenaga akan membuka bidaan bagi penawaran kuota tambahan untuk pembangunan loji jana kuasa solar berskala besar, di bawah di bawah Program LSS@PETRA+ atau Large Scale Solar – Peralihan Tenaga SuRiA Tambahan.
Mengambil kira aspirasi negara dalam agenda peralihan tenaga serta permintaan tenaga elektrik hijau dalam sistem pembekalan elektrik negara, PETRA akan melaksanakan pusingan bidaan tambahan LSS@PETRA+ bagi pembangunan loji jana kuasa solar berskala besar dengan kuota berjumlah 2,000MWac.
Kuota di bawah pusingan bidaan tambahan ini akan ditawarkan menerusi dua pakej seperti berikut:
(a) Pakej A – untuk pembangunan loji jana kuasa solar atas permukaan tanah yang berkapasiti antara 30MWac hingga 500MWac. Jumlah kuota yang ditawarkan adalah sebanyak 1,500MWac; dan
(b) Pakej B – untuk pembangunan loji jana kuasa solar terapung/atas permukaan air yang berkapasiti antara 10MWac hingga 500MWac. Jumlah kuota yang ditawarkan adalah
sebanyak 500MWac.
Menurutnya, penawaran kuota tambahan ini akan dilakukan Suruhanjaya Tenaga mulai 20 Januari 2025 melalui Request For Proposal.
Loji jana kuasa solar yang akan diluluskan di bawah pusingan bidaan tambahan ini dijadual mula beroperasi pada tahun 2027.
Kelulusan kapasiti pembangunan solar tambahan di bawah LSS@PETRA+ ini dijangka akan menjana pelaburan sebanyak RM8 bilion dan mewujudkan sebanyak 12,000 peluang pekerjaan dalam industri TBB negara.
“PETRA yakin bahawa pelaksanaan inisiatif ini akan menyumbang secara signifikan kepada aspirasi peralihan tenaga negara untuk meningkatkan campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) dalam sistem pembekalan elektrik negara kepada 70% menjelang tahun 2050.
“Selain itu ia menyokong komitmen PETRA untuk mengurangkan jejak karbon sektor bekalan elektrik negara,” katanya dalam kenyataan hari ini. – MalaysiaGazette