RAWANG – Tiga individu yang dipercayai bergiat aktif dalam pelbagai kes samun dan curi kenderaan maut selepas berbalas tembakan dengan polis di Kota Emarald, Rawang di sini sekitar jam 12.30 tengah hari tadi.
Difahamkan dua daripada tiga suspek itu memiliki 68 rekod jenayah lampau terutamanya dalam kesalahan samun dan curi serta dadah.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, pihaknya mengesan sebuah kenderaan jenis Toyota Vios dinaiki tiga suspek di lokasi dan cuba menahan mereka.
Namun, kesemua suspek yang menyedari sudah dikepung polis bertindak agresif dengan berbalas tembakan sambil cuba melarikan diri menggunakan kenderaan sewa tersebut.
Polis mengejar kereta suspek sejauh kira-kira 750 meter sebelum kesemua suspek berjaya ditembak mati
Mohd Shuhaily mendedahkan, ketika insiden ini ketiga-tiga suspek dalam perancangan untuk melakukan satu lagi jenayah samun kenderaan.
“Modus operandi sindiket ini ialah dengan menukar plat kereta sewa kepada nombor palsu dan hari ini mereka sewa lagi kereta, mereka dalam usaha untuk melakukan satu lagi jenayah.
“Keputusan untuk menahan dan menangkap dibuat tetapi apabila kita tahan mereka, suspek-suspek itu mula melepaskan tembakan dan berlakunya kejar-mengejar. Akhirnya pasukan kita berjaya tumpaskan ketiga-tiga mereka.
“Indentiti dua suspek terbabit sudah dikenal pasti sebagai dua lelaki tempatan berusia 40 dan 43 tahun dengan rekod jenayah lampau. Tapi seorang lagi belum dapat dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri,” katanya pada sidang media tergempar hari ini.
Mohd Shuhaily berkata, pasukannya sudah mula menjejaki sindiket itu sejak setahun yang lalu dan hanya menunggu masa sesuai untuk menumpaskan mereka.
“Kita percaya mereka bergiat aktif dalam samun curi kenderaan terutamanya jenis 4WD di sini sebelum menjualnya di negara jiran.
“Tahun ini sahaja, sindiket ini sudah samun dan curi enam buah kenderaan,” ujarnya.
Selain kejayaan itu, polis juga berjaya merampas pistol revolver, pistol semi automatik, dua alat menyahaktif penggera kenderaan, topeng muka, satu paket serbuk putih dipercayai dadah. – MalaysiaGazette