Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO (MUU), Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) didakwa menunggang motosikal secara berbahaya tidak sepatutnya diperlakukan seperti binatang dan dipukul beramai-ramai.

Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO (MUU), Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, apa pun kesalahan lelaki terbabit, dia tidak layak diperlakukan begitu kerana mangsa mempunyai masalah mental.

“Pesalah dalam Islam tetap mempunyai kehormatan yang perlu dipelihara sebagaimana ditunjukkan dalam kisah wanita yang dikenakan hukuman kerana berzina di zaman Rasulullah (SAW).

“Apatah lagi melibatkan wajah yang tidak boleh dilukakan. Sementelah lagi kesalahan seseorang itu perlu diadili menerusi pihak berkuasa bukannya orang awam kerana kebarangkalian ia berlaku tanpa sengaja disebabkan pelbagai alasan yang menggugurkan kesalahan.

“Amat malang jika kejadian ini berlaku di khalayak ramai tanpa ada yang menegah dan menghalang kerana ia menunjukkan sifat Amar Ma’ruf Nahi Mungkar semakin suram kerana barangkali bimbang pada ledakan kemarahan dan emosi pihak yang terbabit dengan kerosakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Khairuddin mengulas video memaparkan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dipukul di tapak Pasar Tani Padang Astaka, Chukai.

Kejadian dilaporkan berpunca daripada mangsa yang menunggang motosikal secara tidak sengaja melanggar sebuah gerai di pasar tani tersebut.

Khairuddin menggesa agar pihak berkuasa bertindak segera terhadap mana-mana individu yang bertindak sendiri secara samseng yang membelakangkan undang-undang.

“Keadilan mesti ditegakkan kepada semua pihak menerusi proses keadilan yang betul,” katanya lagi.

Sebelum ini, Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Wan Muhammad Wan Jaafar berkata, kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Setakat ini, tiga lelaki berusia antara 18 hingga 60 tahun ditahan polis selepas mereka hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman sekitar pukul 8 malam. – MalaysiaGazette

Polis buru lelaki pukul OKU di pasar tani

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here