Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh

JOHOR BAHRU – Seorang warga emas tidak lena tidur apabila RM500,000 hangus selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan saham yang menjanjikan pulangan tinggi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, mangsa yang merupakan lelaki warga tempatan berusia 84 tahun membuat laporan polis selepas mangsa menyedari dirinya telah ditipu.

“Semuanya bermula selepas mangsa mendakwa dimasukkan ke dalam kumpulan Whatsapp pelaburan pada Oktober tahun lalu dan berurusan dengan seorang individu bernama Dong Yuan.

“Individu itu telah memperkenalkan dan memberikan penerangan kepada mangsa mengenai pelaburan saham yang menjanjikan pulangan tinggi sehingga 100 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa yang tertarik dengan keuntungan yang dijanjikan memuat turun aplikasi Digzaxxce bagi memantau keuntungan
terbabit.

Lelaki warga emas tersebut katanya, melakukan sebanyak 12 transaksi pembayaran melalui cek ke dua akaun berbeza yang diberikan.

Jelasnya, transaksi dibuat bermula 6 Januari lalu hingga Rabu lalu dengan jumlah keseluruhan modal sebanyak RM500,000.

Menurut beliau, lelaki itu kemudian menyedari dirinya telah ditipu apabila akauntan mangsa memberitahu pelaburan itu tidak benar selepas diminta membuat bayaran tambahan jika ingin mengeluarkan wang keuntungan yang tinggi dalam mata wang dollar Amerika Syarikat.

“Mangsa mendakwa, jika dia enggan (membuat bayaran tambahan), keuntungan diperoleh akan dibekukan,” katanya.

Balveer berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu dan siasatan juga akan melihat kepada pembabitan keldai akaun.

“Jika ada keldai akaun, tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun yang terbabit,” tegasnya.

Pada masa sama, beliau menasihati orang ramai supaya lebih cakna dengan tren semasa jenayah komersial bagi mengelakkan diri menjadi mangsa penipuan.

Tambahnya, masyarakat juga dinasihati supaya tidak mudah mempercayai sebarang tawaran pelaburan atau pekerjaan atas talian yang menjanjikan kaedah yang mudah serta komisen yang tinggi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here