KUALA LUMPUR – Situasi banjir di Pahang pulih sepenuhnya manakala jumlah mangsa di Sabah meningkat setakat 8 malam ini.
Di PAHANG, satu-satunya pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu Sekolah Kebangsaan Ulu Sungai, Raub yang menempatkan 32 mangsa daripada 13 keluarga ditutup 12 tengah hari tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Raub memaklumkan kesemua penduduk Kampung Ulu Sungai, Batu Malim yang terjejas sebelum ini telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Sementara itu, jumlah mangsa banjir di SABAH meningkat malam ini kepada 1,054 mangsa daripada 355 keluarga, berbanding 862 mangsa daripada 282 keluarga pagi tadi.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan seramai 993 mangsa daripada 338 keluarga ditempatkan di tujuh PPS di Pitas, manakala Paitan kekal 61 mangsa daripada 17 keluarga berlindung di tiga PPS.
“17 mangsa daripada enam keluarga yang sebelum ini ditempatkan di sebuah PPS di Kota Marudu telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. Tiada hujan turun malam ini di daerah Pitas dan Paitan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan Sungai Kabatasan dan Sungai Bengkoka di Pitas telah melebihi paras bahaya pada bacaan pukul 1 tengah hari tadi. – BERNAMA