ISTANBUL – TikTok mengumumkan pada Jumaat bahawa akses kepada aplikasi video popular itu akan dinyahaktif untuk lebih 170 juta rakyat Amerika mulai Ahad, melainkan pentadbiran Presiden Joe Biden mengambil tindakan untuk memastikan syarikat itu tidak dikenakan penalti, lapor Agensi Anadolu.
Keputusan ini dibuat selepas Mahkamah Agung Amerika Syarikat pada Jumaat mengesahkan larangan kontroversi terhadap aplikasi itu.
Undang-undang yang ditandatangani Presiden Biden pada April lalu dengan sokongan bipartisan di Kongres mewajibkan TikTok menjual operasinya di AS kepada pembeli tempatan sebelum Ahad bagi mengelakkan larangan.
Bagaimanapun, pentadbiran Biden menyatakan penguatkuasaan larangan itu akan diserahkan kepada Presiden bakal dilantik, Donald Trump yang dijadualkan mengangkat sumpah Isnin.
TikTok menyifatkan respons pentadbiran semasa AS sebagai tidak mencukupi.
“Kenyataan yang dikeluarkan oleh Rumah Putih Biden dan Jabatan Kehakiman hari ini gagal memberikan penjelasan dan jaminan yang diperlukan kepada penyedia perkhidmatan penting untuk mengekalkan akses TikTok kepada lebih 170 juta rakyat Amerika.
“Melainkan pentadbiran Biden segera memberikan kenyataan muktamad untuk meyakinkan penyedia perkhidmatan paling kritikal bahawa larangan tidak akan dikuatkuasakan, TikTok terpaksa menghentikan perkhidmatannya pada 19 Jan,” menurut kenyataan syarikat itu.
Trump memberi bayangan, tetapi tidak mengesahkan secara jelas, bahawa beliau tidak akan menguatkuasakan larangan itu.
Beliau meminta Mahkamah Agung menangguhkan larangan bagi memberi masa kepada pentadbirannya untuk merundingkan penjualan TikTok kepada pembeli Amerika.
Namun, Mahkamah Agung menolak rayuan pemilik aplikasi itu yang berhujah bahawa larangan itu melanggar Pindaan Pertama Perlembagaan AS, sekali gus membenarkan larangan diteruskan.
Akibatnya, TikTok mungkin menghentikan perkhidmatannya Ahad ini, tetapi perkhidmatan itu boleh disambung semula jika Trump memberikan jaminan bahawa syarikat terbabit tidak akan dikenakan penalti atas pelanggaran larangan. – BERNAMA