KUALA LUMPUR – Gencatan senjata Israel dan Hamas yang akan bermula Ahad ini terus mengundang persoalan dan disifatkan belum mampu menjamin masa depan Palestin.
Tun Dr Mahathir Mohamad yang melahirkan keraguannya terhadap keberkesanan perjanjian gencatan senjata di Gaza, mempersoalkan komitmen Israel untuk mematuhi perjanjian tersebut.
“Saya ragu-ragu dengan perjanjian gencatan senjata Gaza. Mungkin saya kelihatan pesimis.
“Tetapi adakah sesiapa percaya bahawa sebuah negara yang telah melanggar berulang kali resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, mengabaikan dan tidak menghormati pendapat dunia akan menunaikan janjinya?,” soalnya dalam kenyataan hari ini.
Kata beliau, rekod Israel sentiasa membuktikan mereka sering melanggar perjanjian sebelum ini termasuklah dengan Hezbollah.
Oleh yang demikian, Dr Mahathir mempersoalkan sama ada gencatan senjata kali ini akan berbeza.
“Israel adalah negara yang tidak bertanggungjawab, sebuah negara yang agresif. Sikap agresifnya tidak akan membenarkannya menghormati mana-mana perjanjian atau undang-undang,” ujar bekas Perdana Menteri itu.
Beliau juga mengkritik tindakan Israel yang terus meningkatkan serangan sebelum gencatan senjata dikuatkuasakan.
Kata beliau, beberapa hari sebelum gencatan senjata, Israel sudah meningkatkan serangan, membunuh seramai mungkin rakyat Palestin sambil menyifatkan ia sebagai tabiat negara itu melakukan keganasan tanpa henti.
“Maafkan pesimisme saya. Tetapi kegembiraan yang ditunjukkan oleh penduduk Gaza adalah terlalu awal. Saya berharap saya salah,” tegasnya.
Beberapa hari lepas, Israel dan Hamas bersetuju melaksanakan gencatan senjata bermula Ahad ini untuk menghentikan perang selama 15 bulan di Gaza.
Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Jassim Al Thani, berkata perjanjian itu akan membawa kepada pembebasan tawanan Israel dan lonjakan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Difahamkan fasa pertama perjanjian itu akan berlangsung selama 42 hari, melibatkan pembebasan 33 tahanan Israel sebagai pertukaran dengan sejumlah tahanan Palestin yang tidak dinyatakan. – MalaysiaGazette